Sime Darby Property menaikkan gaji sara hidup minimum bagi pekerja dalam kumpulan pendapatan B40 sebanyak 80 peratus.

Kenaikan ini daripada RM1,500 kepada RM2,700 sebulan, sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kesejahteraan pekerja dan pertumbuhan inklusif.

Sime Darby Property Beri Sokongan Kepada Pekerja

Pengerusi Sime Darby Property, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata pelarasan itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan sekaligus menyediakan sokongan kewangan lebih baik kepada pekerja berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini menonjolkan komitmen kami terhadap kestabilan kewangan dan kesejahteraan tenaga kerja kami, khususnya mereka yang paling terjejas oleh kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Gaji sara hidup minimum baharu syarikat itu sebanyak RM2,700 adalah RM1,000 lebih tinggi berbanding paras gaji minimum kebangsaan yang ditetapkan.

Di bawah dasar gaji minimum yang disemak semula oleh kerajaan, paras gaji minimum bulanan dinaikkan kepada RM1,700 bermula Februari tahun ini bagi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja.