Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) secara terbuka mengakui bahawa doktor dari Malaysia tergolong dalam senarai ‘negara sumber’ utama yang diintai dan direkrut bagi mengisi keperluan sektor kesihatan mereka, mengatasi negara lain seperti UK dan India.

Dakwanya lagi, setakat ini majoriti sokoto yang berkhidmat di dalam sektor kesihatan negara itu masih didominasi oleh rakyatnya sendiri.

Singapura Akui Doktor Malaysia Dalam Senarai Utama Untuk 'Disambar'
Sumber Gambar: Berita Harian

“Kita kini mempunyai tiga sekolah perubatan. Dahulu, Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah satu-satunya institusi tetapi bilangannya tidak mencukupi untuk melahirkan doktor. Jadi kita menubuhkan sekolah perubatan lepasan ijazah bersama Universiti Duke-NUS.

“Kita juga menubuhkan satu lagi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dengan kerjasama Imperial College. Jadi, tiga sekolah perubatan nasional ini menghasilkan kira-kira 550 doktor setiap tahun.

“Selain itu, ramai warga Singapura yang tak mendapat tempat di sekolah perubatan tempatan memilih melanjutkan pengajian di luar negara. Kita mahu mereka kembali berkhidmat.

“Namun begitu, dari semasa ke semasa, kita memang merekrut doktor dari luar negara merangkumi pelbagai sumber, ada dari UK, India dan Malaysia. Mereka hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan,” katanya kepada Berita Harian.

Pengakuan Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung, tentang perburuan doktor dan jururawat Malaysia yang hangat diperkatakan itu, diutarakan beliau secara terbuka semasa menjawab soalan laporan viral dalam satu sesi bual bicara santai bersama wartawan Malaysia di bawah anjuran MDDI baru-baru ini.