Krisis kesihatan global kembali menghantui, kali ini dengan ancaman MPOX (Monkeypox), yang kini sedang melanda beberapa negara termasuk Singapura, jiran terdekat Malaysia.
Negara yang terletak di Selatan ini sudah mula melaksana langkah-langkah untuk menghalang penularan wabak ini.
Tapi, persoalannya sekarang, adakah Malaysia turut bersiap sedia atau masih lagi berada di tahap “relax dulu, tengok keadaan”?
Mengikut laporan CNA di laman YouTube rasmi mereka, Singapura telah mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat.
Di pintu-pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Changi dan Seletar, pemeriksaan suhu badan dan visual sudah mula dilaksanakan.
Langkah ini bukan sahaja terhad kepada pelancong, tetapi juga melibatkan kru penerbangan yang datang dari kawasan berisiko tinggi.
Mereka yang didapati mempunyai simptom seperti demam dan ruam akan terus dirujuk kepada pakar.
Setakat ini, Singapura telah mengesan 13 kes MPOX pada tahun 2024.
Walaupun kes-kes ini hanya melibatkan strain yang kurang serius (clade 2), namun ancaman daripada strain baru yang lebih maut dan mudah berjangkit, iaitu clade 1b, terus menjadi kebimbangan utama.
Malaysia buat apa?
Di Malaysia pula, netizen mula mempersoalkan tindak balas kerajaan dalam menghadapi ancaman MPOX.
Ada yang risau kalau-kalau Malaysia hanya akan bertindak selepas nasi sudah menjadi bubur.
Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memandang ringan isu ini.
Mereka telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan sejak awal Ogos 2024 untuk memastikan negara kita bersedia.
Antara langkah yang diambil termasuk:
-
- Pembukaan Bilik Gerakan MPOX di CPRC Kebangsaan sejak 16 Ogos 2024.
- Pelaksanaan ‘Sentinel Surveillance’ di pintu-pintu masuk negara dengan penggunaan alat imbasan suhu dan visual yang telah aktif sejak awal Ogos 2024.
- Sebanyak 13 makmal disediakan untuk melakukan ujian pengesanan MPOX, dengan 8 daripadanya adalah makmal kerajaan dan 5 lagi makmal swasta.
- Penyebaran pekeliling dan garis panduan kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta termasuk di kawalan sempadan sebagai langkah persediaan.
- Kempen kesedaran awam melalui media sosial setiap hari tentang cara mengenal pasti simptom MPOX dan langkah-langkah pengurusan jika disyaki menghidap penyakit ini.
Setakat ini, tiada kes baru MPOX dikesan di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, dan kita bersyukur dengan usaha proaktif KKM.
Seperti yang sering dikatakan, “mencegah lebih baik daripada mengubati.”
Jadi, sementara Singapura telah mula bertindak, Malaysia perlu segera memastikan bahawa tidak tertinggal di belakang dalam menghadapi ancaman ini.