Peminat sepak takraw tanah ai berpeluang untuk meyaksikan aksi berkualiti tinggi ditampilkan legenda seperti Siriwat Sakha dan Pichet Pansan selepas Thai Airforce Takraw Club disahkan akan menyertai saingan Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 bermula 13 November nanti.

Amat menarik untuk disaksikan apabila kelab gergasi Thailand itu disahkan akan bersaing bersama-sama Garuda Sepak takraw (Indonesia), India Fighters (India) dan MGPC Singapore (Singapura) untuk melengkapkan lapan pasukan di pentas tersebut.

Baca Juga:

Empat lagi slot bakal diisi Kuala Lumpur Thunder serta tiga lagi pasukan dalam kalangan empat kelab teratas saingan Liga Premier.

Difahamkan kesemua lapan pasukan tersebut akan beraksi di gelanggang baharu iaitu Stadium MBSJ, Serdang Jaya sebagau medan pertarungan memburu pengiktirafan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, saingan STL Champions Cup kali ini pasti sengit dan menarik untuk disaksikan memandangkan beberapa barisan pemain membabitkan pemain kebangsaan dan jagoan dunia seperti Siriwat Sakha, Pichet Pansan (Thailand) dan Yumnam Akash (India).

“Meskipun tumpuan pasti terarah kepada kelab dari negara jiran Thailand, namun saya yakin
dengan kemampuan pemain dan pasukan sepak takraw tempatan yang telah menunjukkan peningkatan dan kualiti permainan yang sangat baik terutamanya kepada pemain-pemain muda yang berjaya ditonjolkan pada saingan STL Premier kali ini.”

“Pastinya empat pasukan tempatan ini
nanti akan memberi aksi dan saingan terbaik bagi merebut dan seterusnya menjulang STL Champion Cup.”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Sepak takraw Asia (ASTAF) yang berperanan memartabatkan sukan tradisi ini dengan menyokong pembabitan pasukan antarabangsa pada musim ini,”katanya.

GP Johor yang bakal berlangsung bermula pada 2 November ini di Arena Larkin, Johor bakal menjadi medan terakhir kepada 12 pasukan yang bersaing di STL Premier untuk merebut empat kedudukan teratas bagi melayakkan diri ke saingan STL Champion Cup.

Rekod pada musim lalu menyaksikan Negeri Sembilan Antlers sebagai juara STL Champions Cup.