Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa sistem bola sepak Malaysia sebenarnya tidak betul dan gagal.
Beliau berkata, semua pasukan sepatutnya tidak boleh dipaksa mengikut cara pengurusan yang dibuat oleh negeri lain kerana kemampuan kewangan tidak sama.
Baca Juga:
- Sanusi Mula Bersuara Mengenai Isu Selangor FC
- MB Kedah Belanja Lagu, Pendakwah Minta Sanusi ‘Cukup-Cukuplah Menyanyi’
- Video: Pertemuan Mesra Sanusi Dan TMJ Curi Tumpuan Warga Maya
“Saya kata sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri membuat persiapan dan menguruskan pasukan dengan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat, mengapa paksa pasukan ikut satu negeri sahaja. Bukan negeri pun, kelab sahaja.
“Kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan? Saya kata sistem tak betul, berhentilah ikut satu pasukan itu, cukup-cukuplah,” katanya dipetik dalam Berita Harian.
Sanusi turut mengulas mengenai isu tunggakan gaji yang melanda skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini.
Menteri Besar Kedah itu menjelaskan KFA sudah menyalurkan bantuan RM2 juta pada tahun ini bagi urusan pelesenan kelab. Katanya, beliau tidak akan menggunakan dana kerajaan negeri bagi menyelesaikan tunggakan gaji KDA FC.
Beliau turut mengakui sistem yang tidak betul merupakan antara punca utama mengapa banyak pasukan mengalami masalah tunggakan gaji sehingga lingkup.
“Saya pernah kata kita pergi main tempat lain sebab gaji pemain terlalu mahal, bukan sebab kita tak mampu. Dahulu masa zaman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bayar gaji, kita boleh menang sampai Piala Malaysia, gaji baru RM6,000 ke RM7,000 masa itu.
“Mengapa sekarang gaji berpuluh ribu, tapi pasukan lingkup? Tentu ada salah sistem ini, kena kaji balik. Tengok balik kemampuan pasukan, saya rasa bukan KDA FC sahaja, negeri lain juga hadapi masalah kewangan juga. Saya malas sentuh negeri lain,” katanya.