Jenama telekung tempatan terkenal, Siti Khadijah (SK) kini menambah satu lagi solusi untuk memudahkan orang ramai mendapatkan telekung mereka melalui tawaran pembayaran Buy Now, Pay Later (BNPL) patuh syariah dan tanpa faedah.
Kerjasama itu yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Moby Islamic akan membawa BNPL patuh syariah sepenuhnya pertama di Malaysia itu ke kedai dalam talian dan cawangan fizikal SK di seluruh negara.
Baca Juga:
- Mudahkan Orang Ramai Bersolat, ‘Vending Machine’ Siti Khadijah Pertama Curi Tumpuan Ramai
- 19 Mutiara Yang Saya Kutip Dari Pertemuan Dengan Pengasas Telekung Siti Khadijah
Melalui pembayaran ansuran patuh syariah itu, pelanggan dapat memiliki telekung Siti Khadijah terlebih dahulu dan membuat pembayaran secara ansuran tanpa sebarang tambahan faedah sehingga 6 bulan.
“Walaupun terus mengembangkan jenama, kami tetap komited terhadap matlamat kami sejak hari pertama, membolehkan wanita Islam lebih mudah membeli pakaian menutup aurat yang berkualiti tanpa membebankan wang,”
“Kerjasama dengan Moby Islamic adalah langkah semulajadi ke hadapan bagi SK dalam perjalanannya daripada perniagaan kecil kepada jenama yang dikenali serantau, mempunyai kedai dalam talian dan 45 kedai butik di seluruh Malaysia dan Indonesia,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SK, Mohammad Munzir Aminuddin.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Moby Islamic, Rian Philip, berkata pelanggan SK kini boleh menikmati ansuran pembayaran fleksibel Moby Islamic untuk pembelian secara online sepenuhnya tanpa faedah dan berdasarkan konsep Qard.
“Tidak lama lagi, pelanggan juga akan dapat menikmati kemudahan ini untuk pembelian fizikal dalam kedai juga,” katanya.
Dalam pada itu perusahaan telekung Siti Khadijah menjangkakan jualannya meningkat antara lima dan lapan peratus tahun ini melalui kerjasama eksklusif tersebut.
Pada tahun lalu Siti Khadijah juga sudah mempunyai sebuah mesin layan diri pertama yang terletak di lorong menuju surau RnR Seremban ke arah Utara. Mesin tersebut menyediakan alatan kemudahan bersolat bagi lelaki dan wanita.