Situasi pengendali skuad B-23 Tahun negara, Juan Torres Garrido menjadi tanda tanya selepas Nafuzi Zain dikaitkan dengan jawatan itu baru-baru ini.
Dua wartawan sukan terkenal tanah air, Zulhelmi Zainal Azam dari Astro dan T. Avineshwaran dari The Star, mengesahkan spekulasi tersebut.
Baca Juga:
- Shin Tae-yong Bakal Ikut Jejak Langkah Kim Pan-gon?
- Media Korea Anggap Penyokong Indonesia Tak Sedar Diri, Tidak Bersyukur
- Nafuzi Zain Dikaitkan Sebagai Calon Utama Ketua Jurulatih B-23 Negara
Perkara ini lantas membuatkan peminat bola sepak tanah air mempersoalkan kemana hala tuju Juan Torres sekiranya dilantik sebagai pengendali baharu, sama ada beliau kekal ataupun meninggalkan skuad kebangsaan.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu dilantik pada Oktober 2023 bagi menggantikan E.Elavarasan yang meletak jawatan untuk membantu skuad senior negara yang ketika itu dibimbing oleh Kim Pan-gon.
Ketika berada di bawah kendalian Juan Torres Garrido, skuad B-23 Tahun negara gagal meraih sebarang mata dalam Piala Asia B-23 selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan dan Vietnam serta tunduk 1-2 ketika bertemu Kuwait.
Sekiranya Juan meninggalkan pasukan negara, kelab Liga Super boleh menyambar khidmat beliau untuk mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan.
Selangor ketika ini masih beroperasi tanpa ketua jurulatih selepas Nidzam Jamil memutuskan untuk meletak jawatan ketika saingan Liga Malaysia musim ini sudah sampai di pertengahan.
Abdi Hassan yang sebelum ini menjadi pembantu Nidzam diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan buat sementara waktu ketika Selangor mencari pengganti yang sesuai untuk Nidzam.
Bagi Nafuzi pula, sejak membimbing Kedah pada musim 2023, visi kejurulatihan Nafuzi Zain sering dipuji oleh penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan terutamanya ketika membimbing Terengganu hingga membawa pasukan tersebut muncul naib juara Liga Super dan Piala FA 2022.
Nafuzi sering dikaitkan dengan skuad kebangsaan dan kini beliau bakal mendapat peluang untuk membuktikan kemampuannya bersama pasukan negara di pentas antarabangsa.