Mahkamah Tinggi di Alor Setar telah membatalkan keputusan mahkamah sesyen yang mengarahkan sebuah kontraktor Bumiputera untuk membayar subkontraktornya sebanyak RM538,000, setelah mendapati bahawa kontrak di antara mereka melibatkan pengaturan ‘Ali Baba’ yang tidak sah.
Hakim, Yang Arif Johan Lee, memutuskan bahawa perjanjian di antara Alor Setar Development Corporation Sdn Bhd (ASDC) dan EE Engineering (Malaysia) Sdn Bhd untuk pembinaan sebuah sekolah adalah bertentangan dengan dasar awam, petik Free Malaysia Today.
Oleh hal yang demikian, kontrak tersebut terbatal di bawah Seksyen 24 Akta Kontrak 1950.
Beliau turut menyatakan bahawa mahkamah perbicaraan sebelum ini telah melakukan kesilapan asas dari segi fakta dan undang-undang.
Pertikaian ini bermula selepas ASDC, yang merupakan pemegang lesen CIDB G5, dianugerahkan sebuah projek pembinaan sekolah dan kemudiannya melantik EE Engineering untuk melaksanakan kerja tersebut.
EE Engineering telah menyaman ASDC untuk mendapatkan baki bayaran tertunggak selepas menyiapkan projek itu.
Memetik laporan itu lagi, Walaupun mahkamah sesyen pada asalnya menolak pembelaan ASDC dan memberikan penghakiman memihak kepada EE Engineering, ASDC kemudiannya merayu terhadap keputusan tersebut.
ASDC berhujah bahawa pengaturan tersebut adalah skim ‘Ali Baba’ yang haram, di mana mereka sekadar meminjamkan lesen Bumiputera mereka untuk komisen tetap sebanyak 2%.
Dalam membenarkan rayuan itu, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa bukti objektif, termasuk keterangan saksi dan dokumentari, dengan jelas menunjukkan bahawa EE Engineering telah menentukan harga tender, membiayai, mengawal, dan melaksanakan keseluruhan projek.
Mereka hanya membayar komisen 2% kepada ASDC semata-mata untuk penggunaan lesen tersebut.
Hakim menyatakan bahawa skim ini direka khusus untuk memintas dasar perolehan kerajaan berkaitan Bumiputera yang mengandungi larangan terhadap pemberian subkontrak secara menyeluruh (wholesale subcontracting).
Selain itu, hakim memutuskan bahawa EE Engineering tidak boleh bergantung kepada premis pengayaan tidak adil (unjust enrichment) atau quantum meruit kerana kedua-dua kausa tindakan ini tidak dibangkitkan dalam dokumen pembelaan mereka.
Dalam ketiadaan dokumen pembelaan tersebut, mahkamah harus menggunakan prinsip ketat ketidaksahan tradisional yang termaktub dalam pepatah ‘maxim ex turpi causa non oritur actio‘.
Menurut hakim, mahkamah tidak akan membantu untuk menguatkuasakan kontrak yang menyalahi undang-undang, yang bermaksud EE Engineering gagal mendapatkan tuntutan bayaran bagi kerja yang telah dilakukan dan kerugian tersebut terpaksa ditanggung sendiri oleh mereka.
Dalam kes ini, pihak ASDC telah diwakili oleh peguam Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah, manakala R. Megalai mewakili pihak EE Engineering.
Susulan daripada keputusan ini, EE Engineering telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.