Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan aplikasi pintar terbaharu dikenali sebagai PAKEJ Map, sebuah platform digital yang dibangunkan bagi memudahkan urusan perkhidmatan pos dan kurier kepada masyarakat di seluruh negara.
Aplikasi tersebut berfungsi sebagai sistem repositori berpusat yang menghimpunkan pelbagai maklumat, sumber, dan infrastruktur kurier di Malaysia.
Pangkalan data ini merangkumi hab perkhidmatan, cawangan, premis perkhidmatan, aset, serta laluan penghantaran dalam format yang berstruktur dan mudah diakses.
Menerusi SKMM, orang ramai boleh memanfaatkan pelbagai fungsi navigasi pintar PAKEJ Map untuk mencari maklumat berkaitan perkhidmatan kurier. Antara ciri utama yang ditawarkan termasuk:
1. Carian Peta Interaktif: Memaparkan lokasi fizikal cawangan dan hab kurier secara visual.
2. Carian ‘Wildcard’ & Tetapan Penapis: Membolehkan pengguna menyaring carian mengikut jenama syarikat kurier atau jenis perkhidmatan yang diperlukan.
3. Carian Radius: Membantu pengguna mengesan cawangan kurier yang paling hampir dengan lokasi semasa mereka.
4. Paparan Panel Liputan: Menyediakan maklumat menyeluruh mengenai kawasan capaian penghantaran bagi setiap penyedia perkhidmatan.
Selain berfungsi sebagai direktori dan panduan navigasi lokasi, PAKEJ Map turut dilengkapi dengan modul pengurusan maklum balas, membolehkan pengguna menyalurkan aduan berhubung isu perkhidmatan kurier secara terus dan efisien.
Inisiatif ini dijangka mampu mempertingkatkan tahap kebolehcapaian dan ketelusan industri kurier, di samping memacu kecekapan ekosistem e-dagang tempatan.
Aplikasi PAKEJ Map kini sedia untuk dimuat turun secara percuma menerusi platform Google Play Store bagi pengguna Android serta Apple App Store bagi pengguna iOS.