Tanggal 15 Ogos menjadi detik bersejarah buat pasukan bola sepak Johor apabila muncul juara Piala FA 1998 setelah menundukkan Sabah 1-0.
Menanti selama lapan tahun dimana saingan Piala FA mula dipertandingkan pada 1990, Johor yang ketika itu dibimbing Steve Darby meraikan kejayaan bersejarah tersebut di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Baca Juga:
- JDT Belasah Selangor, Julang Piala FA Kali Keempat
- Piala FA: Malaysian University ‘Dikuliahkan’ Skuad Kedua JDT
- Piala FA 2024/25: Malaysian University Penuh Bergaya Singkirkan PDRM

Jaringan tunggal pemain import, Milan Blagojevic pada minit ke-31 menerusi percubaan dari luar kawasan penalti yang terus mencari sudut kiri pintu gol Sabah itu sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan Piala FA sulung buat Johor.
Detik menjulang trofi Piala FA 1998 merupakan kisah lama tetapi detik indah itu pastinya bermain di minda penyokong bola sepak Johor yang kini setiap tahun meraikan kejayaan demi kejayaan dengan wujudnya Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sehubungan dengan itu bagi mengimbau nostalgia, The Vocket bawakan kepada anda serba ringkas perkembangan terkini barisan 18 pemain skuad Johor selepas hampir 27 tahun meraih kejuaraan tersebut.

Skuad Juara Piala FA 1998 Johor
Kesebelasan Utama
Omar Salim
Mengawal benteng terakhir pasukan pada perlawanan bersejarah itu, Omar Salim kini merupakan jurulatih penjaga gol buat skuad Liga Super Sri Pahang FC.
Salim Khamis
Bekas bek kanan ini bermastautin di Johor Bahru dan bekerja sebagai kontraktor.
Darren Stewart
Kelahiran Australia, Mendiang Stewart yang merupakan seorang pertahanan ampuh ketika zaman kegemilangannya meninggal dunia pada 19 Oktober 2018.
Beliau merupakan kapten yang menjulang trofi Piala FA 1998 tersebut.
Azmil Azali
Dikenali sebagai seorang pertahanan tengah kental hingga menjadi pilihan ‘regular’ untuk skuad kebangsaan, Azmil Azali kini bekerja di Ranhill Technologies.
Pada usia 52 tahun, anak kelahiran Kota Tinggi itu masih aktif bermain bola sepak.
Mohd Zakir Othman
Zakir turut bermastautin di Johor Bahru tetapi masih tidak dapat dipastikan pekerjaan terkini bekas pemain bek tersebut
Rezal Zambery Yahya
Berusia 46 tahun, Rezal kini bertindak selaku penolong ketua jurulatih bagi skuad Liga Super Kelantan Darul Naim.
Milan Blagojevic
Tiada info terkini mengenai beliau tetapi sebaik sahaja bersara pada 2004, beliau pernah bergelar jurulatih beberapa pasukan di Australia.
Idris Karim
Bekas pemain tengah ini menggalas tanggungjawab dalam mencungkil bakat baharu dengan mengendalikan akademi bola sepak di Johor Bahru.
Sama seperti Azmil, Idris juga aktif bermain bola sepak bersama pasukan veteran.
Rizal Sukiman
Rizal juga satu nama yang cukup gah pada era 90an, beliau kini terlibat dengan perniagaan dan turut merupakan seorang kontraktor.
Rusdee Sulong
Pemain jentera serangan ini menetap di Johor Bahru dan terlibat dengan perniagaan.
Beliau bagaimanapun sudah tidak bermain bola sepak tetapi sentiasa menyokong perjalanan pasukan legenda Johor.
Azmi Mohamed
Bekas penyerang yang mempunyai reputasi baik dalam kancah bola sepak tanah air ini merupakan ketua jurulatih buat skuad Piala MFL PDRM FC.
Pemain Simpanan
Hasbullah A. Fatah
Bertindak selaku penjaga gol simpanan, Hasbullah pada ketika ini difahamkan bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Farouk Yahya
Bekas bek tengah ini bertugas sebagai Ketua Marshall bagi JDT.
Bakhtiar Othman
Bakhtiar menetap di Johor Bahru dan terlibat dengan akademi bola sepak di sana.
Sazali Nasir
Beliau juga berada di Johor Bahru dan kini merupakan seorang kontraktor.
Sutesh Sankaran Nair
Suthesh kini bertindak selaku ketua jurulatih di Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) di Johor Bahru.
Difahamkan, beliau juga pencari bakat di Akademi Bola Sepak JDT.
Tuboly Frigyes
Pemain import yang masuk menggantikan Rusdee Sulong pada perlawanan akhir Piala FA 1998 itu dikhabarkan berada di Hungary tetapi tiada perkembangan terkini tentang beliau.
Annuar Abu Bakar
Allahyarham Annuar meninggal dunia pada 6 Mei 2019 asbab penyakit kanser hati tahap empat dihidapinya.
Ketua Jurulatih
Steve Darby
Pengendali yang cukup sinonim dengan bola sepak tanah air itu telah pulang ke kampung halamannya, United Kingdom dimana tugasan terakhirnya adalah membimbing skuad kebangsaan Laos dalam menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2018.
Kejayaan muncul juara Piala FA 1998 bersama Johor pastinya menjadi antara kenangan manis Darby di Malaysia.