Selepas tular gambar model Proton Saga serba baharu berbalut rekaan corak batik dan ketika perdana menteri menunjukkan kepada Premier China semasa Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, hari ini gambar penuh kereta tersebut diperlihatkan kepada orang ramai.
Menerusi hantaran Facebook Proton Cars, jenama automotif negara memuat naik lima gambar yang menunjukkan bahagian luar dan dalam kereta berkenaan.
Baca Juga:
- Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar Ibrahim Beri Premier China Lihat Dua Model Baharu Proton

- Kilang Proton Shah Alam Ditutup Selepas 40 Tahun, 1,400 Pekerja Dipindah Ke Tanjong Malim

- Proton Tanjung Malim Bakal Dilengkapi Kereta Api Angkut Kenderaan EV

Model kereta baharu itu dibina daripada platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang sama seperti Proton Saga sebelum ini, namun telah diberikan penambahbaikkan.
Ia kini dilengkapi dengan enjin i-GT 1.5 liter, kotak gear automatik CVT dan Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS). Pengunaan bahan api serendah 4.9L/100
km.
Daripada segi keselamatan, terdapat sembilan fungsi keselamatan pintar iaitu Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).
Sementara Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 pula berfungsi dengan enam beg udara dan disokong oleh PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF).

Kini Proton meletakkan dwi-skrin bersepadu 16-inci yang memaparkan paparan meter digital dan sistem infotainmen. Pemandu boleh menyambungkan telefon pintar masing-masing dengan menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto secara wireless.
Bagi selari dengan gaya model-model terkini, lampu utama mengunakan Projektor LED penuh dengan lampu siang, bar lampu belakang LED penuh.
Bahagian gril hadapan diserlahkan dengan motif Sulaman Songket dan rim aloi dua tona 15-inci

“Model ini menunjukkan sejauh mana PROTON telah melangkah ke hadapan bermula daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama global berwawasan.
“Ia merupakan kereta yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan kini bersedia untuk mempamerkan keupayaan kejuruteraan negara ke seluruh dunia,”kata Zhang.
Difahamkan Proton Saga serba baharu bakal dilancarkan dalam masa terdekat, bulan ini.