Pada minggu lalu orang ramai mengadu air botol Spritzer yang dibeli mereka mempunyai bau kurang enak, seakan bau petai.

Sehubungan itu Spritzer Berhad (Spritzer) telah menyelesaikan siasatan dan mengenal pasti punca-punca bau tersebut dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan untuk memastikan konsistensi dan kualiti yang berterusan.

Baca Juga:

Menerusi satu kenyataan rasmi, Spritzer telah menjalankan siasatan komprehensif yang melibatkan semakan dalaman terperinci, ujian makmal bebas, serta penilaian terhadap kaedah penyimpanan dan pengendalian.

“Hasil siasatan mengesahkan bahawa bau tersebut berpunca daripada ketidakaturan sementara dalam kandungan semula jadi yang terdapat di dalam sumber air, yang menjadi lebih ketara selepas proses pengeluaran dan pendedahan kepada cuaca panas semasa penghantaran atau penyimpanan.

Spritzer menekankan bahawa hanya sebahagian kecil botol yang dihasilkan antara bulan Jun dan Julai 2025 terjejas. Hasil ujian yang dijalakan oleh makmal bebas ke atas sampel daripada produk yang ditukar mengesahkan ianya selamat untuk diminum dan mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” kata pihak syarikat.

Spritzer juga telah menambah baik sistem penapisan dan memperkukuhkan pemantauan kualiti harian bagi memastikan konsistensi produknya.

Isu air botol Spritzer berbau adalah terpencil

Netizen Mengadu Air Botol Berbau Petai, Ini Respons Spritzer

Dr. Chuah Chaw Teo, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Spritzer menyatakan isu yang timbul itu adalah kejadian terpencil.

“Siasatan kami mengesahkan bahawa ini adalah kejadian terpencil yang berpunca daripada kandungan semula jadi, dan tidak berkaitan dengan aspek keselamatan air kami.

“Kami telah bertindak pantas untuk menambah baik proses penapisan dan protokol pemantauan bagi memastikan Spritzer terus menawarkan rasa yang segar dan unik serta memberi keyakinan berterusan kepada para pelanggan kami.

“Kami sedar bahawa situasi ini mungkin telah menyebabkan kesulitan kepada sesetengah pelanggan yang mengalaminya, dan kami amat menghargai pemahaman mereka.

“Spritzer bertekad untuk mengekalkan tahap mutu tertinggi produk dengan segala ketelusan dan tanggungjawab tertinggi untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan yang telah kami bina sejak bertahun-tahun dahulu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, bagi pelanggan yang mengalami isu ini dan memerlukan bantuan, boleh hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan Spritzer di 1800-88-3111 atau [email protected].