Pada minggu lalu seramai tujuh ejen kastam ditahan kerana disyaki bersubahat dengan pemilik kereta mewah untuk mengurangkan duti mencecah RM33 juta secara tidak sah.

Memetik laporan terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memburu sebanyak 100 kenderaan mewah termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah.

Baca Juga:

Kenderaan itu sedang dicari dalam operasi khas SPRM yang dijalankan selepas pemiliknya dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Menurut sumber kepada Harian Metro, siasatan pihaknya mendapati ada 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.

“Kenderaan ini ada yang dibeli pada 2015 lagi dan mendapati ada yang sudah bertukar pemilik asalnya hingga ke pemilik ketiga.

“SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan.

“Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan fasa kedua operasi khas itu untuk diambil tindakan. Operasi itu dibuat susulan kejayaan operasi pertama yang berjaya menumpaskan satu sindiket yang telah mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Sebanyak 20 kereta mewah disita serta tujuh individu ditahan dan dikenalpasti sebagai ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.

Sumber