Penjenayah dan tokoh politik dari Malaysia dikesan mula beralih arah ke sebuah negara di Asia Barat bagi menyembunyikan kekayaan yang diperoleh daripada hasil aktiviti haram serta penggubahan wang haram global.
Negara berkenaan kini dilihat sebagai destinasi pilihan utama (safe haven), menggantikan beberapa negara maju lain yang sebelum ini sering dikaitkan dengan aktiviti sorok harta.
Dasar ‘Pintu Terbuka’ Jadi Puncanya
Menurut sumber yang dilaporkan oleh NST, dasar “pintu terbuka” yang diamalkan negara Asia Barat tersebut menarik minat profil tinggi dan penjenayah kewangan antarabangsa.
Mereka bukan sahaja dibenarkan membawa masuk dana tanpa pengawasan ketat, malah turut dimudahkan untuk memiliki aset mewah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Siasatan terbaharu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti beberapa individu berpengaruh, termasuk seorang bekas pemimpin tertinggi negara, yang memiliki aset mewah di sana.
Individu tersebut dipercayai membeli aset berkenaan secara tunai menggunakan dana yang tidak diisytiharkan di Malaysia.
Sukar Diambil Tindakan Undang-Undang
Antara faktor utama negara ini menjadi pilihan adalah disebabkan kekangan undang-undang di sana yang menyukarkan individu yang dikehendaki (wanted) untuk diekstradisi atau berdepan tindakan mahkamah. Ini membolehkan mereka terus bebas tanpa rasa bimbang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa negara Asia Barat tersebut kini menjadi tumpuan utama berbanding sebuah negara Asia lain yang popular sebelum ini.
“Di sana, mereka boleh membawa masuk wang tunai dan mendepositkannya ke dalam bank. Sebab itu ia menjadi destinasi kegemaran mereka yang terlibat dalam jenayah kewangan, termasuk dari Malaysia,” jelas Azam Baki.
Pasaran Hartanah Mewah Yang ‘Gelap’
Semakan lanjut mendapati pasaran hartanah mewah yang tidak telus serta kebenaran pemilikan asing sehingga 100 peratus menjadi daya tarikan utama.
Walaupun terdapat peraturan pelaporan transaksi, penjenayah kewangan mengeksploitasi kelonggaran penguatkuasaan dan kelemahan undang-undang untuk menukar duit haram kepada aset fizikal bernilai tinggi.
Badan pemantau antarabangsa, Transparency International, sebelum ini telah mengeluarkan amaran bahawa sektor kewangan negara tersebut adalah legap dan kurang dipantau, menjadikannya pasaran terbuka yang ideal untuk penjenayah terancang dan ahli politik dari seluruh dunia menyembunyikan harta mereka.