Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim, disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bangunan berketinggian 274 meter yang mempunyai 60 tingkat itu disita mengikut Akta SPRM 2009.

Baca Juga:

Berdasarkan notis disiarkan di sebuah akhbar, perintah sita harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, arahan itu turut melarang segala urusan di Menara Ilham atau disebut sebagai harta tak alih dalam notis berkenaan.

Ia dibuat mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Bahawa terdapat harta tak alih, seperti dalam Jadual, adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“Dengan ini, mengeluarkan notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam jadual tersebut; dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.

“Kamu hendaklah serta-merta mencatatkan terma notis ini pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam Daftar di pejabat kamu,” menurut notis itu.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), sumber terdekat Daim memaklumkan tindakan sita dibuat susulan bekas anggota Kabinet itu enggan mematuhi arahan agensi penguatkuasaan tersebut.

Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan anti-penggubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Bagaimanapun, Daim menolak tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian Renong-UEM.

Untuk makluman, Menara Ilham yang terletak di tengah ibu kota difahamkan mengandungi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera, premis perniagaan serta apartmen.