Sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorokkan beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan metrik dalam serbuan oleh pasukan petugas khas, semalam.
Memetik Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Fong Hin berkata dalam serbuan itu beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) itu ditemui dalam kampit jumbo disorok dalam gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.
Baca Juga:
- Beringat Sebelum Rugi, ‘Financial Planner’ Ini Kongsi Cara Mudah Merancang Kewangan
- Lelaki Ini Kongsikan Cara Beli Kereta Terpakai Di Bawah ‘Market Value’
- Jangan Ulang 5 Kesilapan Kewangan Orang Malaysia Selalu Buat
“Pasukan petugas khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau digantung lesen.
Chan turut memberi amaran keras kepada pengilang supaya mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan ketika rakyat berdepan masalah kekurangan BPT.
“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin bekalan makanan berpatutan untuk rakyat.
“Bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih,” katanya.