RTM, badan penyiaran milik kerajaan, kini berdepan dengan kontroversi apabila seorang kakitangannya tampil mendedahkan isu tunggakan gaji melalui hantaran media sosial Linkedin yang mendapat perhatian ramai dan tular di X.
Dalam catatannya, editor bahasa Inggeris, Noor Ainun Jariah Noor Harun, mendedahkan bahawa meskipun sudah hampir dua bulan berkhidmat, beliau belum menerima gaji pertama.

Menurut Noor Ainun, pelbagai alasan diberikan oleh pihak atasan, antaranya “admin bercuti,” “admin sakit,” dan “admin baru.”
Walaupun pihak syarikat kerap kali memberi jaminan bahawa gaji akan dibayar lambat laun, beliau menganggap sikap sebegini tidak bertanggungjawab.
“Bagaimana pekerja mampu bertahan tanpa gaji yang dibayar tepat pada masanya?” soal Noor Ainun yang menggambarkan kekecewaan di kalangan pekerja RTM.
Difahamkan bahawa sudah beberapa kali beliau melaporkan masalah ini kepada pihak atasan, namun isu ini masih belum diatasi dengan baik.
“Saya tahu sesetengah pihak mungkin mencadangkan untuk memfailkan aduan rasmi atau menghantar e-mel kepada Ketua Pengarah RTM atau mana-mana pihak atasan lain.
“Biar saya beri jaminan kepada anda, langkah-langkah ini telah diambil berkali-kali oleh orang lain. Adakah terdapat penyelesaian? Malangnya, tidak.
“Isu ini ditangani dengan penyelesaian sementara dan bukannya penyelesaian kekal. Sistem itu sendiri sudah lapuk dan tidak cekap.
“Contohnya, mesin rekod kehadiran kerap kali rosak, memaksa pekerja mengisi borang hanya untuk mengesahkan masa masuk kerja kami,” katanya.
Sebagai seorang editor yang sering melaporkan inisiatif kerajaan untuk mendigitalkan sistem dan meningkatkan kelestarian, Noor Ainun tidak dapat menahan ironi situasi ini.
“Kerajaan bercakap tentang digitalisasi dan kelestarian setiap hari, namun di RTM, pekerja masih bergantung kepada sistem manual dan perlu mencetak borang tanpa henti. Di manakah kelestariannya?” ujarnya dengan nada kecewa.
Beliau turut menekankan bahawa dia tidak lagi berharap kepada pihak RTM, sebaliknya menggesa tindakan daripada Kementerian Komunikasi.
Beliau mempersoalkan layanan kepada pekerja kontrak dan sambilan yang dikatakan seolah-olah tidak dihargai, menambah, “Mengapa pekerja kontrak dilayan sebegini? Adakah kami tidak penting?”
Akhirnya, Noor Ainun menggesa campur tangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menyelesaikan masalah ini.
“Saya tidak akan berhenti bersuara sehingga menerima respons daripada pihak tertinggi,” katanya.