Perak Bison bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan ATM Guardians 2-1 bagi melangkah ke separuh akhir Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Johor, sebentar tadi.

Kemenangan di Arena Larkin, Johor Bahru itu menyaksikan anak buah Dzafril Anuar akan berhadapan dengan Negeri Sembilan Antlers pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung petang esok.

Baca Juga:

Kejayaan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Perak Bison yang membariskan Kritsada Sungvung selaku tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) tewas pada pertama.

ATM Guardians yang dibarisi Adam Aiman (tekong), Afiffudin Razali (apit kanan) dan Norfaizzul Razak (apit kiri) bangkit daripada ketinggalan 12-14 untuk menang 17-16.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, trio Perak Bison tampil dengan lebih kemas pada set kedua untuk merakamkan kemenangan 15-8 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum cemerlang itu diteruskan Perak Bison yang mudah untuk mengesahkan kemaraan dengan satu lagi kemenangan mudah 15-4.

Sementara itu dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di sebelah petang, Negeri Sembilan Antlers berhempas-pulas sebelum dapat menundukkan Bomba Fighters 2-1.

Haziq Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari selaku apit kiri bermula dengan cukup baik pada set pertama apabila mudah mencatatkan kemenangan 15-5.

Ketika Negeri Sembilan Antlers hanya memerlukan satu mata pada kedudukan 14-6 untuk menamatkan set kedua, Bomba Fighters yang dibarisi Pongsatorn Phong Udtha (tekong), Rizani Ruzaini (apit kanan) dan Afiq Mazlan (apit kiri) mencipta kejutan terbesar dengan lapan mata berturut-turut bagi mengikat kedudukan dan kemudiannya menang 17-15.

Set ketiga menyaksikan Negeri Sembilan Antlers pula menjelmakan kebangkitan hebat selepas mereka bangkit daripada ketinggalan 0-7 dan akhirnya memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-11.