Selangor Pistons meneruskan kemaraan ke separuh akhir Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Johor selepas berjaya menewaskan PDRM Defenders 2-0 pada aksi suku akhir, sebentar tadi.
Kemaraan ke separuh akhir itu sekali gus turut mengesahkan tempat buat skuad Selangor Pistons untuk beraksi dalam saingan Champions Cup nanti dimana hanya empat pasukan tangga teratas akan layak.
Baca Juga:
- STL 2024 GP Pulau Pinang: Perak Bison Atasi Selangor Pistons Untuk Separuh Akhir
- Siriwat Sakha, Pichet Pansan Bakal Beraksi Di STL Champions Cup 2024
- STL 2024 GP Johor: Rentetan Kekalahan Berakhir, Perak Bison Atasi KL Thunder
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru itu, Selangor Pistons membariskan tekong, Zuhri Mohd Zain, Nonthanan Sombatlay (apit kanan) dan Muhammad Arif Mohd Badri (apit kiri).
Manakala, PDRM Defenders pula menyandarkan harapan kepada Siwatbancha Seekhwa (tekong), Muhammad Shahalril Aiman dan Mohamad Ridaudin Abdul Ghani (gantian) selaku apit kanan dan apit kiri, Muhammad Shahalril Aimin.
Variasi servis dimiliki Zuhri serta libasan menarik Nonthanan hasil ketenangan umpanan Arif Badri dilihat menjadi senjata utama buat Selangor untuk meraih kemenangan 15-11 di set pertama.
Skrip berbeza dapat disaksikan pada set kedua dimana kedua-dua trio saling kejar-mengejar hingga ke mata 16-16.
Namun tuah nyata menyebelahi Selangor Pistons apabila servis terakhir yang diambil Zuhri gagal diangkat dengan baik Siwatbancha untuk membolehkan mereka mara ke separuh akhir.
Menanti skuad kendalian Azman Hamid itu di separuh akhir ialah pemenang antara Kuala Lumpur Thunder yang akan berhadapan dengan tuan rumah, Johor Tigris pada 9.30 malam nanti.