Kuala Lumpur (KL) Thunder tidak terlalu berdepan masalah untuk mara ke final Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Pulau Pinang selepas menewaskan Negeri Sembilan Antlers 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di SPICE Arena, Bayan Baru sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus memastikan aksi final impian yang dinantikan peminat sepak takraw iaitu bertemu Perak Bison dapat direalisasikan.

Baca Juga:

Malah seperti diketahui, ia merupakan final kali keempat berturut-turut buat skuad himpunan pemain kebangsaan itu.

Sedar bukan tugas mudah pada perlawanan ini kerana Negeri Sembilan Antlers pernah melakar kejutan ke atas mereka di GP Terengganu, Rosli Ab Rahman membariskan skuad terkuatnya yang terdiri daripada Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir selaku apit kiri.

Manakala lawan mereka pula meletakkan harapan kepada Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan apit kiri, Zulefendi Sumari.

Set pertama jelas memperlihatkan penguasaan penuh KL Thunder yang memperagakan aksi kemas untuk menang mudah 15-6 dimana 10 mata disumbangkan Azlan Alias.

Saingan lebih sengit ditampilkan anak buah Mohd Shahir Nasrudin pada set kedua yang menyaksikan Negeri Sembilan Antlers mendahului KL Thunder 5-1 dan beberapa kali dapat menjarakkan jurang mata.

Namun, trio KL Thunder itu tidak mudah menyerah kalah untuk kembali terutamanya menerusi servis-servis padu daripada Syahir yang membolehkan mereka bangkit dan mengesahkan kemenangan 15-12.

Dengan berakhirnya dua aksi separuh akhir, Terengganu Turtles akan berhadapan dengan Negeri Sembilan pada jam 8.00 malam bagi penentuan tempat ke-3/4. Manakala, aksi KL Thunder menentang Perak Bison pula akan berlangsung pada 9.30 malam.