Pasukan pilihan, Kuala Lumpur (KL) Thunder tidak berdepan masalah untuk menang ke atas Kelantan Warriors pada aksi sulung kumpulan A Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam sebentar tadi.

Membariskan Zarif Merican Ibrahim Merican selaku tekong dan dibantu Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Kuala Lumpur Thunder jelas berada di kelas tersendiri.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Trio berpengalaman tersebut jelas cukup selesa untuk mempamerkan aksi mantap bagi menundukkan juara Divisyen 1 yang dibarisi Purachet Yodsaen (tekong), Haikal Mohamad Jamil (apit kanan) dan apit kiri, Muhamad Adli Abu Bakar terutamanya pada set pertama.

Servis menarik daripada Zarif beberapa kali berjaya memerangkap pemain Kelantan Warriors manakala Azlan seperti kebiasaan cukup berbisa dalam melakukan rejaman hasil umpanan baik Amirul Zazwan.

Keadaan itu memberikan ruang seluas-luasnya buat Kuala Lumpur Thunder untuk memenangi set pertama dengan mudah 15-7.

Skrip bagaimanapun sedikit berubah pada set kedua dimana Purached, Haikal dan Adli memberikan saingan sengit pada satu ketika menyaksikan kedudukan terikat 7-7.

Namun, ia tidak langsung menggentarkan barisan pemain Kuala Lumpur Thunder yang menyerap tekanan dengan baik dan kembali menjarakkan mata 12-7.

Kemasukan tekong, Fakhrul Akmal Mohamad Nakoin dan apit kanan dari Thailand, Rusdee Leerem dilihat sedikit lewat bagi merintis kebangkitan Kelantan Warriors dimana Kuala Lumpur Thunder tidak mensia-siakan peluang untuk mengesahkan kemenangan 15-11.

KL Thunder akan berdepan Bomba Fighters pada 3.00 petang esok manakala Kelantan Warriors bertemu lawan sama, Jumaat ini (4.30 petang).