Penang Black Panthers menyerap tekanan dengan baik pada saat akhir untuk menundukkan Kelantan Warriors 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di Stadium Arena 9, Nilai sebentar tadi.
Penang Black Panthers yang gagal mengutip sebarang mata pada GP pertama di Terengganu mempertaruhkan gandingan Muhammad Imran Fazli (tekong), Rusdi serta Aidilfitri Sabri (apit kanan), Danial Iman Hasbullah serta Muhammad Hardiansyah Muliang selaku apit kiri.
Baca Juga:
- STL 2025: Jadual Penuh Perlawanan GP Negeri Sembilan
- STL 2025: Keputusan Undian Kumpulan Bagi GP Negeri Sembilan
- STL 2025: Kedudukan Terkini Selepas Berakhir GP Terengganu
Manakala Kelantan Warriors pula terus menyandarkan harapan kepada Ikhwan Syafiq Mohd Fitri, Muhammad Imran Omar (tekong), Pichet Pansan (apit kanan) dan Muhammad Zilfikri Wajawwa (apit kiri).
Penang Black Panters memulakan permainan dengan cukup baik apabila selesa mendahului lawan dengan jurang 7-2. Namun, kelebihan itu dipadamkan Kelantan Warriors hingga kedua-dua pasukan terikat 10-10.
Tersentak dengan keadaan tersebut, regu Penang itu kembali tampil dengan lebih baik untuk menang set pertama dengan mata 15-11.
Skrip sama berulang pada set kedua apabila Penang Black Panthers sekali lagi mendahului Kelantan Warriors dengan kelebihan lima mata pada kedudukan 8-3.

Malah, Kelantan Warriors turut cemerlang untuk bangkit bagi mendapatkan mata demi mata yang akhirnya membolehkan mereka menang 15-11 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Rezeki Memihak Penang Black Panthers
Set ketiga juga berlangsung dengan cukup dramatik apabila kedua-dua regu saling kejar-mengejar mata hingga terikat pada kedudukan 16-16.
Servis ‘ace’ daripada Imran Fazli akhirnya menghadiahkan kemenangan sulung buat Penang Black Panthers untuk menduduki tempat pertama kumpulan B buat seketika.