Juara baharu bakal dimahkotakan pada STL 2025 Grand Prix (GP) Perak apabila tuan rumah, Perak Bison akan berdepan Kelantan Warriors pada aksi final di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam ini.
Mendapat sorakan padu ribuan penyokong yang membanjiri stadium, Perak Bison memperagakan aksi bertenaga untuk menundukkan Kuala Lumpur Thunder di separuh akhir.
Baca Juga:
- STL 2025: Senarai Pasukan Ke Separuh Akhir GP Perak

- VIDEO: Aksi ‘Luar Kebiasaan’ Noraizat Nordin Sebagai Tekong Selamatkan Perak Bison

- STL 2025: Kedudukan Terkini Selepas Berakhirnya 4 Pusingan GP

Ketinggalan empat mata pada permulaan set pertama tidak dihiraukan Kritsada Sungvung (tekong), Muhammad Noraizat Nordin (apit kanan) dan apit kiri, Aidil Aiman Azwawi untuk kembali bangkit dan kemudiannya memimpin perlawanan.

Kebangkitan tersebut membolehkan anak-anak buah Dzafril Anuar untuk memenangi set pertama dengan jurang besar 15-8.
Momentum cemerlang itu diteruskan pada set kedua di mana Perak Bison mendahului agak jauh ketika meraih mata ke-14.
Kuala Lumpur Thunder cuba untuk melakukan kebangkitan hebat dengan mengutip mata demi mata tetapi servis Zarif Marican Ibrahim Marican ketika kedudukan 13-14 tersangkut di jaring bagi membawa Perak Bison ke pentas final.
Sebelum itu, Kelantan Warriors juga mempamerkan aksi cukup bertenaga dengan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Johor Tigris 2-1.

Semi Finalis STL 2025 GP Johor itu serba tidak menjadi pada set pertama apabila tewas 9-15 tetapi perubahan pada set kedua dengan kemasukan Aizat Azmi selaku tekong dan perejam berbisa Thailand, Pichet Pansan menyaksikan Kelantan Warriors menang 15-11 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Set ketiga memperlihatkan penguasaan berterusan Kelantan Warriors walaupun Sukrit Wacharaburanaphong dan Azim Azizul kembali dimasukkan.
Duo yang bergandingan dengan apit kiri, Fikri Wajawa itu tampil lebih garang pada set ketiga sekali gus menang 15-6 bagi meneruskan kemaraan ke final STL 2025 GP Perak.
Berikut merupakan jadual penuh perlawanan hari ini:
Hari Kelima STL 2025 GP Perak
Klasifikasi Ke-7/8 – Melaka Titans lawan Bomba Fighters – 3.00 Petang
Klasifikasi Ke-5/6 – ATM Guardians lawan Penang Black Panthers – 4.30 Petang
Tempat Ke-3/4 – Kuala Lumpur Thunder lawan Johor Tigris – 8.00 Malam
Final – Perak Bison lawan Kelantan Warriors – 9.30 Malam