Kelantan Warriors mempamerkan kebangkitan untuk menundukkan ATM Guardians 2-1 aksi kumpulan D Liga Premier Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Terengganu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak sebentar tadi.
Tewas kepada Kuala Lumpur Thunder malam tadi, Kelantan membariskan Ikhwan Syafiq Mohd Fitri (Muhammad Imran Omar) selaku tekong, Pichet Pansan (apit kanan) dan apit kiri, Muhammad Zilfikri Wajawwa.
Baca Juga:
- STL 2025: Kuala Lumpur Thunder Jinakkan Kelantan Warriors 2-1
- STL 2025: Ini Perubahan Format Yang Buatkan Laluan Kejuaraan Lebih Mencabar
- STL 2025: Senarai Lengkap Pasukan Yang Beraksi Dalam Liga Premier
Manakala, pula ATM Guardians pula menyandarkan harapan kepada tekong, Muhammad Ikmal Hakimi (Adam Aiman Zainol), Afifuddin Razali (apit kanan) dan Norfaizzul Abdul Razak (apit kiri).
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah buat Kelantan apabila segalanya serba tidak menjadi terutamanya Ikhwan Syafiq beberapa kali gagal mengangkat bola pertama dengan baik.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya ATM Guardians untuk memenangi set pertama dengan mata 15-9 dimana lima daripada mata diperolehi berpunca daripada kesilapan lawan.
Faktor Kebangkitan Kelantan Warriors
Pertukaran Imran Omar menggantikan Ikhwan Syafiq nyata membuahkan hasil buat Kelantan Warriors apabila variasi servisnya membuatkan pemain ATM Guardians berdepan masalah.
Walaupun servisnya tidak terlalu laju tetapi ia sering kali memerangkap terutamanya Norfaizzul untuk memberikan mata-mata berharga buat pasukannya.
Keadaan itu membolehkan Kelantan mencuri set kedua dengan kemenangan 15-10 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Kemenangan tersebut jelas menyemarakkan lagi semangat pemain Kelantan Warriors yang mendahului dengan jurang empat mata pada kedudukan 5-1 dan 6-2.
Namun, ATM Guardians bangkit semula untuk mengikat kembali kedudukan 6-6 dan kemudiannya mendahului 8-7.
Enggan sekali lagi dikecewakan menerusi permainan tiga set, Kelantan memperkemaskan aksi dan mereka nyata tidak mampu dihalang untuk mengesahkan kemenangan dengan mata 15-11.
Kemenangan yang membuka kembali peluang Kelantan Warriors untuk mara ke separuh akhir dimana ATM Guardians turut mampu melayakkan diri sekiranya berjaya menewaskan Kuala Lumpur Thunder dengan kemenangan ‘straight set’ pada petang esok.