Jodoh dua pasukan yang kini sedang mendominasi saingan STL 2025, Negeri Sembilan Antlers dan Melaka Titans memang cukup kuat.

Hal ini kerana masing-masing yang sudah menjuarai dua Grand Prix (GP) itu telah diundi berada dalam satu kumpulan dalam menghadapi GP Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh bermula esok.

Baca Juga:

Ia merupakan kali keempat kedua-dua pasukan hebat dalam kancah sepak takraw tanah air itu diundi bersama.

Yang terbaharu Negeri Sembilan Antlers dan Melaka Titans diundi dalam kumpulan B bersama naib juara GP Johor tempoh hari iaitu Kuala Lumpur Thunder.

Kumpulan A menyaksikan satu-satunya pasukan yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan, Bomba Fighters berada bersama PDRM Defenders dan Kelantan Warriors.

STL 2025
Kredit Foto: Sepaktakraw League

Tuan rumah, Perak Bison yang menamatkan saingan GP Johor di kedudukan keenam bakal membuat perhitungan dengan Selangor Pistons dan Penang Black Panthers dalam kumpulan C.

Kumpulan D pula akan diisi ATM Guardians, Johor Tigris dan Terengganu Turtles.

Saingan GP Perak pasti menarik untuk disaksikan kerana barisan pemain import dari Thailand sudah kembali ke pasukan masing-masing kerana pada GP Johor mereka terlibat dengan Piala Princess di Bangkok.

STL 2025
Kredit Foto: Sepaktakraw League

Berikut merupakan senarai penuh undian kumpulan bagi saingan Liga Premier STL 2025 bagi GP Perak:

STL 2025 GP Perak

Kumpulan A – Bomba Fighters, PDRM Defenders & Kelantan Warriors

Kumpulan B – Negeri Sembilan Antlers, Melaka Titans & Kuala Lumpur Thunder

Kumpulan C – Selangor Pistons, Perak Bison & Penang Black Panthers

Kumpulan D – ATM Guardians, Johor Tigris & Terengganu Turtles