Hari kedua saingan Liga Premier STL 2026 bagi GP Kuala Lumpur di Stadium Titiwangsa menyaksikan Perak Bison dan Melaka Titans yang turun buat pertama kali tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan.
Manakala Selangor Pistons pula menghidupkan kembali peluang untuk mara ke suku akhir susulan kemenangan yang dicatatkan ke atas tuan rumah, Kuala Lumpur Thunder.

Turun sebagai pasukan tangga teratas keseluruhan, Perak Bison yang dibarisi Pornthep Tinbangbon (Najmi Syahfiq Anur), Nazrein Daniel Kamal Mustafa (Madzrul Aziq Mat Tahir) dan Amirul Zazwan Amir nyata sukar disaingi Bomba Fighters.
Menang 15-8 pada set pertama, Perak Bison mengesahkan kemenangan dengan lebih mudah apabila menang 15-5 untuk sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Aksi Hari Kedua GP Kuala Lumpur Lebih Menarik
Melaka Titans pula yang diperkuatkan dengan kehadiran Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali tidak langsung gentar dengan reputasi dimiliki Negeri Sembilan Antlers.
Variasi servis padu dimiliki Syahir jelas menjadi masalah besar buat Negeri Sembilan Antlers yang akhirnya membolehkan juara GP Melaka itu menang mudah 15-7, 15-4.
Selangor Pistons pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Kuala Lumpur Thunder 14-17, 15-12, 17-15 dalam aksi yang berlangsung dengan penuh debaran dan kontroversi melibatkan keputusan pengadil.

Sementara itu, Kelantan Warriors juga tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan Johor Tigris 15-13, 15-9.
GP Kuala Lumpur merupakan GP keempat selepas berakhirnya saingan di Perak, Pulau Pinang dan Melaka.