Kejohanan Sepak Takraw League (CelcomDigi STL 2026) bagi saingan Liga Premier akan bermula 21 Oktober ini yang menyaksikan Stadium Indera Mulia, Ipoh menjadi tuan rumah bagi GP Perak.

STL Liga Premier 2026 memperlihatkan perubahan ketika memasuki pusingan kalah singkir serta pembahagian mata berbanding format pertandingan pada musim lalu.

Perubahan STL 2026 Liga Premier

Hal ini kerana dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan layak ke suku akhir bagi menggantikan format Kelas Satu dan Kelas Dua dipraktikkan ketika musim 2025.

Ini bermakna tiada lagi pusingan klasifikasi tempat ke-5/8 yang perlu dilalui oleh pasukan tangga kedua bagi setiap kumpulan.

Kaedah yang memberikan lebih peluang kepada empat lagi pasukan untuk turut sama merebut kejuaraan.

Kedah Eagles

Pembahagian mata juga menyaksikan perubahan apabila kesemua pasukan yang tewas di suku akhir akan meraih 15 mata. Pasukan tangga terakhir yang mencatatkan satu kemenangan akan menerima lapan mata.

Manakala, empat pasukan tangga teratas bagi setiap GP akan menerima mata yang sama seperti edisi lalu.

Berikut merupakan senarai lengkap pembahagian mata bagi saingan GP STL 2026 Liga Premier:

1) Juara – 32 mata

2) Naib juara – 28 Mata

3) Ketiga – 24 mata

4) Keempat – 21 mata

5) Tewas di suku akhir – 15 Mata

6) Gagal ke suku akhir tetapi menang 1 perlawanan – 8 mata

7) Gagal ke suku akhir dan kalah kedua-dua perlawanan – 0 mata

Seperti musim lalu, tiada status pasukan pilihan atau ‘seeded’ bagi undian pada setiap GP.

Sebanyak tujuh sirkit GP bakal dilangsungkan pada STL 2026 Liga Premier yang bermula di Perak dan kemudiannya disusuli Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan berakhir di Selangor.