Kuala Lumpur Thunder memulakan kempen Liga Premier Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Terengganu dengan nota kemenangan selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-1, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak itu menyaksikan Kuala Lumpur Thunder membariskan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong), Muhammad Redwan Hakim (Aekasit Naphom) selaku apit kanan dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri).

Baca Juga:

Kuala Lumpur Thunder

Manakala, Kelantan Warriors pula meletakkan harapan di bahu Ikhwan Syafiq Mohd Fitri (tekong), Pichet Pansan (Muhammad Izham Zaidi) dan apit kiri, Muhamad Adli Abu Bakar.

Kehadiran Pichet yang merupakan legenda Thailand pada mulanya dilihat memberikan sumbangan berkesan buat Kelantan Warriors hingga berjaya memenangi set pertama 15-10.

Kebangkitan Kuala Lumpur Thunder

Namun, kemasukan Aekasit pada set kedua jelas mengubah sepenuhnya corak permainan Kuala Lumpur yang tampil lebih garang.

Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 15-7 pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Kuala Lumpur Thunder

Momentum cemerlang tersebut diteruskan anak-anak buah Rosli Rahman untuk mengesahkan kemenangan juga dengan jurang mata 15-7.

Juara bertahan itu bakal mendapat rehat sehari esok apabila Kelantan Warriors akan membuat perhitungan dengan ATM Guardians pada 4.30 petang, esok.

Kuala Lumpur Thunder kemudiannya akan berhadapan dengan ATM Guardians pada hari Khamis nanti jam 4.30 petang.