Negeri Sembilan Antlers beraksi dengan cemerlang untuk menundukkan skuad himpunan bintang, Kuala Lumpur Thunder pada perlawanan pertama Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 GP Terengganu, semalam.

Berdepan Kuala Lumpur Thunder yang dibarisi Syahir Rosdi dan Zarif Merican Ibrahim Merican selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), ia jelas tidak mengganggu rentak permainan Haziq Hairul Nizam (tekong), Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) untuk tampil cemerlang terutamanya pada set kedua dan ketiga.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila Kuala Lumpur Thunder yang merupakan juara GP Selangor tempoh hari berjaya meraih kemenangan 15-10 pada set pertama.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Negeri Sembilan Antlers bangkit dengan lebih meyakinkan berbekalkan kepada servis menarik Haziq serta rejaman tajam Hafizul sambil dibantu ketenangan Zulefendi dalam mengumpan bola.

Kombinasi itu membuahkan hasil pada set kedua dimana skuad kendalian Mohd Shahir Nasrudin tersebut menang 15-11 sekali gus mengheret aksi ke ‘tie break’.

Momentum cemerlang itu diteruskan Negeri Sembilan Antlers untuk mengesahkan kemenangan 15-9 bagi menghadiahkan kekalahan sulung buat Kuala Lumpur Thunder pada musim ini.

Manakala pada perlawanan terdahulu, Perak Bison berhempas-pulas sebelum berjaya menundukkan Selangor Pistons 15-11, 8-15, 17-14.

ATM Guardians pula bermula baik selepas tersingkir awal tanpa sebarang kemenangan pada GP Selangor dengan menumpaskan Johor Tigris 17-15, 17-16.

Sementara itu pada aksi terakhir semalam, Terengganu Turtles memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri untuk menewaskan Penang Black Panthers 15-9, 8-15, 15-11.

Saingan hari kedua bakal bermula pada jam 3.00 petang ini, klik disini untuk melihat jadual perlawanan dalam GP Terengganu.