Stok beras Malaysia mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik selama enam bulan, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan negara dalam mendepani gangguan rantaian bekalan makanan global, petik New Straits Times.
Kosmo! melaporkan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin sebagai berkata, stok beras negara berada pada paras 1.05 juta tan metrik, termasuk 200,000 tan metrik stok penimbal berkuat kuasa 7 Julai lalu.
Beliau berkata, kementerian terus memperkasakan daya tahan negara terhadap gangguan rantaian bekalan global menerusi pelbagai langkah penambahbaikan.
“Langkah-langkah ini merangkumi jaminan kelangsungan pengeluaran makanan domestik melalui insentif bagi mengurangkan kos operasi pengeluar agromakanan. Antaranya termasuk bantuan tunai Budi Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan, insentif bajak RM300 sebulan kepada pesawah padi, serta pengekalan subsidi diesel dan petrol untuk para nelayan.
“Kami juga mengukuhkan pemantauan pasaran menerusi sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah sistem intervensi bekalan dan permintaan agromakanan. Sistem ini membolehkan pengesanan awal isu bekalan dan permintaan dilakukan, sekali gus membolehkan intervensi yang lebih tepat, proaktif dan tepat pada waktunya,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris yang bertanyakan tentang plan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import barangan makanan utama, termasuk sasaran tahunan kadar sara diri (SSR) domestik serta kesiapsiagaan negara berdepan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Chan menambah, kementerian juga sedang memacu pengeluaran domestik bagi komoditi yang amat bergantung kepada bekalan import, seperti jagung bijian dan bawang.
“Program penanaman jagung bijian secara berskala besar akan dilaksanakan bermula 2026 hingga 2040 dengan sasaran pengeluaran sebanyak 1.25 juta tan metrik.
“Bagi komoditi bawang pula, varieti bawang merah tempatan BAW-1 akan ditanam di bawah projek rintis komersial merangkumi kawasan seluas 1,447 hektar menjelang tahun 2030,” katanya.