Bermula dari sebuah projek perintis di kawasan kecil, pasangan suami isteri, Azhar Arshad, 57, dan Haslina Hassan, 59, kini mencatat kejayaan luar biasa dalam usaha mereka menanam bawang merah jenis Bima Brebes yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia.

Merujuk laporan Berita Harian, hasil tuaian pertama projek ini berjaya membawa pulangan lebih RM30,000, memberi mereka keyakinan untuk memperluaskan tanaman ini di Pahang.

Projek tanaman bawang  ini bermula pada September lalu di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah.

Dalam masa hanya tiga bulan, pasangan ini sudah berjaya menuai hampir empat tan bawang merah.

Tidak puas dengan kejayaan itu, mereka kini merancang untuk menambah kawasan tanaman bawang seluas 1.8 hektar bagi fasa kedua, bermula tahun depan.

“Hasil fasa pertama ini adalah satu kejayaan besar walaupun kami terpaksa belajar banyak perkara baharu, terutamanya kaedah penanaman dari pekebun di Sumatera Barat, Indonesia,” kata Azhar.

Azhar turut berkongsi bahawa tanaman bawang merah memiliki tempoh matang singkat, antara 75 hingga 90 hari, menjadikannya pilihan yang praktikal dan kurang membebankan berbanding tanaman lain seperti sayur-sayuran.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa cuaca yang tidak menentu, terutamanya hujan lebat, serta ancaman penyakit kulat, menjadi cabaran utama dalam usaha ini.

Haslina, yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada suaminya, berkata permintaan bawang merah di Malaysia menjadi motivasi utama mereka mencuba tanaman ini.

“Tanaman bawang merah masih kurang diusahakan di negara kita, walaupun ia sangat popular di Indonesia dan India. Kami melihat potensi besar di sini, memandangkan permintaan pasaran yang sangat tinggi,” jelas Haslina.

Pasangan ini tidak hanya bergantung pada tanaman bawang.

Sebelum ini, mereka turut mengusahakan tanaman lain seperti nanas, kelapa, cempedak, pisang, durian, dan mangga di kawasan sama selama lima tahun.

Namun, tanaman bawang merah kini menjadi fokus utama mereka kerana potensi pulangannya yang lebih pantas.

Azhar yang juga seorang pengurus ladang kelapa sawit di sebuah syarikat swasta, berulang-alik setiap minggu dari Sepang ke Jerantut untuk memastikan projek ini berjalan lancar.