Jika sebelum ini pernah kecoh dengan beg jenama Christian Dior yang dituduh berkait dengan agama Kristian, kini subang berbentuk salib yang diperagakan oleh seorang pelakon wanita terkenal menjadi bualan netizen.

Pelakon Scha Alyahya menyangkal dakwaan beliau memakai anting-anting berbentuk salib ketika hadir ke sidang media HeroDewi Remaja yang diadakan pada Selasa lalu.

Baca Juga:

Pelakon terkenal itu sebaliknya menjelaskan anting-anting berkenaan yang berbentuk X adalah merupakan jenama antarabangsa yang dikenali sebagai Off White. Logo X menjadi simbolik kepada jenama Off White yang mana memang mendominasi dunia fesyen sejak sekian lama.

“Bukan salib tapi X logo Off White, sekian,” penjelasan ringkas yang dihantar pada IG Story miliknya.

Bahkan, beliau juga memuat naik satu hantaran gambar dengan kapsyen yang menyatakan keseluruhan pakaian yang diperagakan adalah berjenama Off White termasuklah anting-anting berkenaan.

Menerusi sebuah video tular di TikTok, pelakon drama Awan Dania itu menarik perhatian netizen ketika ditemu bual pada sidang media HeroDewi pada tempoh hari lalu.

Menjengah ke ruangan komentar video itu, terdapat segelintir netizen yang salah anggap terhadap anting-anting yang didakwa menyerupai salib itu. Sementara ada yang turut menerangkan bahawa logo itu adalah berbeza dengan salib yang menjadi lambang keagamaan.

“Terkejut aku tengok subang Scha,” ujar seorang pengguna TikTok.

“Salib dan huruf X tak samalah. Kenapa benda bentuk X lalu fikir lain,” kata seorang pengguna yang mempersoalkan tentang sesetengah individu yang sangat sensitif dengan bentuk tertentu tanpa membuat kaji selidik.

“Saya seorang kristian dan salib bukan bentuk X yer. Dia bentuk ‘t’ yang panjang kat satu sisi,” terang seorang pengguna beragama kristian mengenai bentuk salib.