Firma ekuiti persendirian Roark Capital bersetuju pada Khamis (24 Ogos) untuk mengambil alih Subway. Menurut sumber, rangkaian sandwic dari Amerika Syarikat itu bernilai sehingga AS$9.55 bilion (RM44.36 bilion), termasuk hutang, tertakluk kepada sasaran dalam prestasi kewangannya.

Perjanjian itu menandakan berakhirnya lelongan yang bermula pada Februari yang telah menarik minat beberapa firma ekuiti swasta.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Roark Capital menewaskan beberapa kumpulan pembida saingan yang diketuai oleh TDR Capital dan Sycamore Partners, yang turut menyerahkan bidaan akhir lebih daripada AS$9 bilion (RM41.76 bilion), kata sumber yang mengetahui perkara itu.

Subway, yang mempunyai kira-kira 37,000 restoran di lebih 100 negara, tidak mendedahkan syarat perjanjian pengambilalihan tersebut.

“Urus niaga ini mencerminkan potensi pertumbuhan jangka panjang Subway, dan nilai besar jenama kami dan francaisi kami di seluruh dunia.

“Subway mempunyai masa depan yang cerah dengan Roark, dan kami komited untuk terus memberi tumpuan kepada pendekatan menang-menang-menang untuk francaisi kami, tetamu (pelanggan) kami dan pekerja kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Subway, John Chidsey.

Memetik kenyataan rasmi rangkaian sandwich itu, syarikat akan terus melaksanakan strateginya dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan jualan, inovasi menu, pemodenan restoran, penambahbaikan keseluruhan pengalaman tetamu (pelanggan) dan pengembangan antarabangsa.

Pengambilalihan oleh Roark Capital telah menamatkan ‘pemilikan keluarga persendirian’ Subway yang sudah lebih lima dekad, sekaligus menjadikannya juga sebagai salah satu pengendali restoran terbesar di dunia — dengan mengawal Inspire Brands, pemilik rangkaian restoran termasuk Dunkin’, Auntie Anne’s, Jimmy John’s, Arby’s, Baskin-Robbins dan Buffalo Wild Wings.

Pada masa sama pengambilalihan itu menyenaraikan Subway sebagai salah satu pengambilalihan rangkaian makanan bernilai tinggi seperti Kraft miliki Cadbury (RM88.16 bilion), Amazon miliki Whole Foods (RM63.56 bilion), Danone miliki WhiteWave Foods (RM58 bilion), Quacker miliki Snapple (RM6.49 bilion) dan Hormel miliki Skippy (RM3.2 bilion).

Sumber