Ramai antara kita yang sejak kecil dibukakan akaun Tabung Haji oleh ibu bapa atau mendaftar sendiri beberapa tahun lepas dengan impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Namun, Lembaga Tabung Haji baru-baru ini mengumumkan perubahan dasar utama menerusi pelan Seruan Istito’ah yang memerlukan perhatian serius semua penimpan di Malaysia.
Tiada Lagi Pendaftaran Manual Mulai September 2026
Bermula 11 September 2026, urusan pendaftaran haji tidak lagi dibuka melalui saluran biasa. Ini bermakna pendaftaran baharu menerusi kaunter cawangan Tabung Haji, aplikasi THiJARI, perbankan internet rakan strategik, ATM/CDM, serta Skim Pendaftaran Haji Ahli KWSP dihentikan sepenuhnya.
Syarat Simpanan RM15,000 Dan Kelayakan Automatik
Sistem pendaftaran manual kini digantikan dengan Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Menerusi pendekatan baharu ini, giliran menunaikan haji hanya akan diberikan secara automatik sebaik sahaja baki simpanan dalam akaun anda mencapai sekurang-kurangnya RM15,000.
Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan prinsip istito’ah atau kemampuan kewangan dipenuhi terlebih dahulu sebelum giliran dikeluarkan.
Tempoh Peralihan Bagi Yang Sudah Mendaftar
Sekiranya anda sudah pun mendaftar haji sebelum ini, pendaftaran tersebut tidak terbatal begitu sahaja. Tabung Haji menyediakan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk anda mengumpul simpanan sehingga mencapai jumlah RM15,000.
Ini penting bagi mengekalkan kedudukan giliran sedia ada. Pelarasan giliran mengikut syarat simpanan minimum ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2029.
Langkah Yang Perlu Diambil Dari Sekarang
Bagi penyimpan sedia ada yang baki akaunnya masih di bawah RM15,000, anda mempunyai masa untuk menambah simpanan secara konsisten.
Manakala bagi yang belum pernah mendaftar, fokus utama kini adalah mengukuhkan simpanan bulanan sehingga melepasi angka RM15,000 supaya kelayakan giliran dapat dijana secara automatik oleh sistem.