Tumpuan peminat sepak takraw negara kini beralih ke acara regu selepas regu berpasukan Malaysia muncul pemenang pingat emas dalam Sukan Asia 2026 semalam.

Kemarau 36 tahun itu sudah pun berakhir dan kini misi lebih besar untuk meraih satu lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia di Aichi-Nagoya.

Sukan Asia 2026: Senarai Pemain Sepak Takraw Malaysia & Thailand Dalam Acara Regu Lelaki
Kredit Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia

Acara Regu Lelaki Sukan Asia 2026 Menarik Untuk Disaksikan

Berdasarkan kepada senarai pemain yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi kejohanan, Ahmad Jais Baharun membuat keputusan untuk merehatkan Farhan Adam dan memberikan kepercayaan kepada Aidil Aiman Azwawi di posisi pengumpan (apit kiri).

Selain itu tiada kejutan dalam senarai pemain apabila Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak akan bertindak selaku tekong.

Sementara itu tugas selaku perejam atau apit kanan pula bakal diisi Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali.

Melihatkan kepada senarai tersebut, kem negara dilihat mempunyai kekuatan seimbang untuk menghadapi ancaman lawan. Di samping itu, ketenangan Aidil Aiman bagi mengawal keadaan juga amat ditagih.

Manakala di kem Thailand pula, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee membariskan Pornthep Tinbangbon serta Kritsanapong Nontakote sebagai tekong.

Phutawan Sopa dan Tanaphon Sapyen menjadi pilihan selaku perejam manakala pengumpan menjadi milik Wuttinun Kamsanor.

Acara regu lelaki Sukan Asia 2026 menyaksikan hanya enam pasukan sahaja yang bertanding dengan Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.

Sukan Asia 2026: Senarai Pemain Sepak Takraw Malaysia & Thailand Dalam Acara Regu Lelaki
Kredit Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia

Thailand pula yang merupakan juara bertahan akan menghadapi Jepun dan Filipina dalam kumpulan A.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada 9.00 pagi esok manakala berhadapan dengan Myanmar sehari kemudian jam 8.00 pagi.