Selepas Formula 1 (F1) disahkan kembali ke Malaysia, orang ramai kini berpeluang menjadi sebahagian daripada penganjuran perlumbaan berprestij itu apabila permohonan sukarelawan F1 Sepang 2026 secara rasmi dibuka.

Program sukarelawan itu adalah bagi membantu melancarkan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Sukarelawan yang terpilih akan ditempatkan dalam pelbagai tugasan mengikut keperluan penganjur sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Antara manfaat yang ditawarkan ialah elaun sebanyak RM60 sehari, makanan sepanjang tempoh bertugas serta peluang merasai pengalaman bekerja di belakang tabir acara sukan permotoran bertaraf dunia.

Jadual tugasan pula akan ditentukan berdasarkan keperluan operasi sepanjang perlumbaan berlangsung.

Bagi memohon, calon hanya perlu melengkapkan maklumat peribadi seperti nama, alamat, butiran untuk dihubungi serta pengalaman terdahulu sebagai sukarelawan di SIC sekiranya ada.

Kepulangan F1 ke Sepang selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017 dijangka menjadi antara acara sukan terbesar di Malaysia tahun ini.

Selain menarik ribuan peminat tempatan dan antarabangsa, ia juga membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menimba pengalaman mengendalikan kejohanan sukan bertaraf global.

Kepada yang berminat untuk menjadi sukarelawan Litar Sepang sempena acara Formula 1 yang akan datang, anda boleh isi borang di sini: Borang Sukarelawan Litar Sepang