Sejak hari semalam tular gambar dan video sebuah jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beraksi di angkasa ketika sesi latihan sempena acara berprestij Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) tidak lama lagi.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah jet pejuang itu mempunyai rekaan jalur gemilang pada badannya.
Baca Juga:
- Kanak-Kanak Jepun Mula ‘Gilakan’ Karipap Selepas Tonton Filem Mechamato
- Ini Sebab ‘Bismillah’ Diganti Kepada ‘Kakugo Shiro’ Dalam Mechamato Movie Bahasa Jepun
- Berjaya Tembusi Pawagam Jepun, Mechamato Movie Raih Pujian Peminat Dari Negara Luar
Warganet menamakan jet pejuang itu sebagai Mechamato, diinspirasikan daripada animasi terbaik tempatan yang sedang menempa nama di persada dunia.
Bagaimanapun itu bukanlah nama sebenarnya.
Dalam satu kenyataan rasmi pihak TUDM, jet pejuang itu digelarkan sebagai ‘Toruk Makto’ — diambil daripada filem fiksyen Avatar.

Pihak TUDM menyamakan jet pejuang Su-30 MKM itu dengan haiwan fiksyen Toruk, seekor haiwan pemangsa besar utama yang ganas dan liar di Pandora yang digelar sebagai ‘The Last Shadow’.
Hanya individu yang berjiwa besar sahaja yang mampu menundukkannya.
“Dalam budaya Na’vi, hanya jiwa yang tulen dan suci mampu menunggang makhluk tersebut. Seperti kata mereka — “Only a pure soul can ride a Toruk“.
“Di dunia nyata, sosok juruterbang pesawat tempur Su-30MKM mencerminkan semangat yang sama. Su-30MKM bukan sekadar mesin perang, ia adalah ‘makhluk besi’ yang memerlukan pengendali berjiwa besar,” kata TUDM.
Hanya Juruterbang TUDM terpilih boleh kendalikan Su-30MKM

Katanya lagi, jet pejuang yang dilengkapi teknologi canggih itu hanya tunduk kepada mereka yang benar-benar layak, bukan hanya dari segi fizikal dan mental, tetapi juga moral.
“Seperti Toruk Makto, juruterbang Su-30MKM adalah ‘Rider of The Last Shadow‘ dalam dunia nyata. Mereka adalah insan terpilih, bukan semata-mata kerana kehebatan mereka, tetapi kerana ketulenan jiwa mereka.
“Dalam kokpit, seorang juruterbang perlu membuat keputusan dalam detik yang mendebarkan, kadang kala antara hidup dan mati. Keputusan yang hanya boleh dibuat oleh jiwa yang murni tanpa niat peribadi dan tanpa ego.
“Mereka terbang tinggi bukan untuk menunjuk kuasa, tetapi untuk melindungi kedaulatan negara. Mereka adalah penjaga langit sepertimana dalam lagenda Pandora, hanya yang tulus akan dipercayai untuk menunggang ‘Bayang Terakhir’,” jelas TUDM.

Dalam pada itu latihan yang melibatkan dua fasa (Fasa 1 bermula 6 hingga 13 Mei di ruang udara Alor Setar dan Butterwort, Fasa 2 bermula 14 hingga 19 Mei di ruang udara Langkawi) adalah bertujuan memperkasakan kesiagaan dan kecekapan anak kapal TUDM dalam memberikan persembahan terbaik bagi pembukaan dan pertunjukan udara LIMA’25 nanti.
Sepanjang latihan itu, TUDM mempamerkan aksi penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu dan latihan ini juga akan melibatkan beberapa siri letupan bagi gimik pembukaan LIMA’25.