KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah berkenan mengurniakan sebuah masjid bagi penduduk di kawasan Batu Muda, Kuala Lumpur.

Menerusi satu hantaran Facebook, Seri Paduka Baginda bertitah demikian kepada Datuk Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diperkenankan mengadap di Istana Bukit Tunku.

Masjid baharu itu mempunyai tapak seluas dua ekar yang terletak di sekitar PPR Batu Muda.

“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia, hajat ini dapat dizahirkan.”

“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri. Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru. Semoga ianya bermanfaat bagi semua, dunia dan akhirat, In Shaa Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir dalam sesi mengadap, TPr. Hj. Rosli bin Nordin, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar, DBKL.