Penyerang muda kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta mencipta sejarah baharu apabila muncul pemain pertama dari negaranya yang menjaringkan gol dalam liga divisyen utama Belgium, Jupiler Pro League 2023/24.

Jaringan beliau di minit 89 turut membantu kelabnya, OH Leuven meraih 3 mata penuh selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas K.A.S Eupen semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Suphanat menyertai OH Leuven secara pinjaman dari Buriram United pada bulan September lalu selama setahun. Kelab tersebut sebelum ini pernah meminjam penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan selama dua musim.

Berdasarkan rekod, setakat ini Suphanat telah beraksi dalam 7 perlawanan bersama skuad utama OH Leuven dan meraih 191 minit permainan.

Sebelum ke Belgium, beliau beraksi sebanyak 101 perlawanan bersama Buriram dimana beliau menjaringkan 24 gol dan menyumbang 15 assist. Suphanat telah memenangi kejuaraan Liga Thailand sebanyak 3 kali, Piala FA sebanyak dua kali dan Piala Liga juga sebanyak dua kali.

Suphanat kemudian dihantar ke kelab England, Leicester City untuk menjalani latihan selama sebulan dan langkah ini membuka luas mindanya untuk menitikberatkan pelbagai aspek dalam kariernya.

“Selepas saya ke sana, saya mula menyedari bahawa saya memang agak jauh ketinggalan daripada segi fizikal. Tahap profesional di sana juga sangat tinggi dalam kalangan para pemain.

“Kalau boleh, saya ingin mencabar diri saya dan bermain di Eropah dengan segera. Selepas sesi latihan di Leicester City pada Disember lepas, saya sedar ramai pencari bakat daripada kelab lain yang cuba untuk mencari pemain,” kata Suphanat Mueanta.

Pemain yang mesra disapa ‘Bank’ itu turut dipanggil memperkuatkan jentera serangan Thailand bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.