Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memukul kemaluan suami dengan kayu besbol yang boleh mendatangkan kecederaan.

Wanita itu melakukan kesalahan tersebut pada tahun lalu kerana berang dengan suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan perempuan warga asing.

Akibat terlalu marah, Siow Leng memukul kemaluan suaminya dnegan kayu besbol sehingga berdarah. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menerima rawatan kecemasan.

Bukan itu sahaja, tertuduh turut memecahkan cermin kereta suaminya dengan objek yang sama.

Menurut laporan Buletin TV3, Lim Siow Leng, 41, ibu kepada 4 anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menyerang yang mungkin menyebabkan kematian, menggunakan kayu besbol di sebuah kilang Jalan Kim Kee, jam 9.20 pagi, 11 November 2023.

Tertuduh dan suami kini dalam proses penceraian. Dan Siow Leng kini berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada dua hukuman terbabit jika sabit kesalahan.

Sementara itu Seksyen 326A, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Menurut pihak pendakwaan, kesalahan tertuduh tidak boleh diikat jamin kecuali atas budi bicara hakim mahkamah untuk kes memukul kemaluan suami.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu semula sebutan kes pada 20 Mei akan datang.

Untuk kesalahan memecahkan cermin kereta, tertuduh berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.

Dia dibenarkan diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin.

Sumber