Suria KLCC terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara lokasi runcit paling berprestij di peringkat antarabangsa apabila menduduki tangga ke-21 dalam senarai laluan runcit utama termahal di dunia bagi tahun 2026.

Menurut edisi ke-36 laporan Main Streets Across the World terbitan Cushman & Wakefield, kadar sewa utama di Suria KLCC mencatatkan peningkatan tahun ke tahun (YOY) sebanyak satu peratus dalam mata wang tempatan.

Kadar sewaan di pusat beli-belah ikonik tersebut kini direkodkan pada paras AS$294 (RM 1,209) bagi setiap kaki persegi setahun, atau bersamaan €2,720 (RM 12,274) bagi setiap meter persegi setahun.

Di peringkat serantau bagi Asia Pasifik (APAC), Suria KLCC turut berjaya mempertahankan kedudukannya di tangga ke-23, tidak berubah berbanding tahun 2025, sekali gus mengukuhkan reputasi Kuala Lumpur sebagai hab beli-belah utama di rantau ini.