Naza Eastern Motors hari ini secara rasminya telah membuka lembaran baharu buat jenama Suzuki di Malaysia dengan melancarkan Suzuki e VITARA.
Model ini merupakan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) global pertama daripada Suzuki yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan.
Bagi fasa pertama ini, Suzuki e VITARA akan dibawa masuk dalam unit yang amat terhad, memberikan peluang eksklusif kepada pemilik terawal untuk merasai sendiri penawaran teknologi EV sulung jenama ini.
Rekaan Agresif Berkonsepkan ‘Metal Beast’

Dibangunkan di atas platform serbaharu HEARTECT-e , e VITARA membawakan DNA reka bentuk High-Tech & Adventure.
Luarannya diispirasikan daripada konsep “Metal Beast” yang menggabungkan estetika digital futuristik bersama imej SUV yang tegap dan berotot. Kehadirannya di atas jalan raya diserlahkan lagi melalui:
– Arka roda yang sasa bersama rim sukan bersaiz 18-inci.
– Reka bentuk jeriji hadapan heksagon yang unik.
– Lampu utama dengan tandatangan elemen matriks tiga titik (three-point matrix).

Dari segi dimensi, SUV kompak ini mempunyai ukuran panjang 4,275mm, lebar 1,800mm, tinggi 1,635mm, dengan jarak roda (wheelbase) sepanjang 2,700mm.
Ruang kargonya pula menawarkan kapasiti sehingga 306 liter, menjadikannya sebuah kenderaan yang praktikal untuk pemanduan urban mahupun jarak jauh.
Ruang Kabin Digital & Premium

Melangkah ke dalam kabin, Suzuki menampilkan reka bentuk dalaman generasi baharu yang memfokuskan kepada pengalaman digital dan mesra pengguna.
Suasana premium dizahirkan melalui gabungan material upholsteri Melange jersey, kulit sintetik berlubang (perforated), serta kemasan warna coklat dan hitam piano.
Antara kelengkapan menarik yang dimuatkan termasuklah:
– Integrated Display System (IDS): Panel tunggal yang menggabungkan kluster instrumen digital dan skrin infotainmen.
– Stereng dua jejari reka bentuk squircle.
– Konsol tengah jenis terapung dengan kawalan shift-by-wire.
– Pengecas peranti pintar tanpa wayar Qi serta sambungan USB (Jenis-A & Jenis-C) di depan dan belakang.
Prestasi eAxle & Jarak Gerak 426km
Suzuki e VITARA dikuasakan oleh sistem pacuan elektrik eAxle terbaharu yang menyepadukan motor elektrik, penyongsang (inverter), dan gear penurunan dalam satu pakej kompak.
– Kuasa Maksimum: 128kW (172hp) & tork 193Nm yang memacu roda hadapan.
– Kapasiti Bateri: Lithium Iron-Phosphate (LFP) sebesar 61kWh dengan sistem penyejukan cecair.
– Jarak Pemanduan: Sehingga 426km dengan cas penuh.
– Mod Pemanduan: ECO, NORMAL, dan SPORT.
Sistem pengecasan pantas DC membolehkan bateri diisi dari 10% hingga 80% dalam masa 45 minit sahaja.
Bagi pengecasan AC pula, ia mengambil masa sekitar 9 jam menggunakan pengecas 7kW (10% hingga 100%).
Sistem Keselamatan Tahap Tertinggi
Aspek keselamatan tidak diabaikan apabila Suzuki e VITARA dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan maju (ADAS) yang komprehensif, antaranya:
– Dual Sensor Brake Support II (DSBS II)
– Lane Keep Assist (LKA) & Lane Departure Prevention (LDP)
– Adaptive Cruise Control (ACC)
– Blind Spot Monitor (BSM) & Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
– Kamera 360-darjah dengan pandangan bird’s-eye
Harga Dan Pilihan Warna

Di pasaran Malaysia, Suzuki e VITARA ditawarkan pada harga bermula daripada RM188,000 (atas jalan tanpa insurans).
Terdapat lima pilihan warna menarik yang ditawarkan, termasuk tiga kombinasi dwi-warna (two-tone) bersama bumbung Bluish Black Pearl.
Setiap pembelian didatangkan dengan pakej jaminan yang sangat menarik demi ketenangan minda pemilik:
– Jaminan kenderaan: 5 tahun tanpa had perbatuan.
– Jaminan komponen BEV: 5 tahun / 100,000km.
– Jaminan bateri EV: 8 tahun / 160,000km.
Berita baik untuk 10 pelanggan pertama, anda bakal menikmati slot eksklusif cas EV percuma selama 5 tahun di pengedar sah terpilih (tertakluk pada terma & syarat).
Selain itu, Naza Eastern Motors turut menaik taraf program jaminan kenderaan kepada 5 tahun tanpa had perbatuan (menggantikan jaminan 3 tahun/100,000km sebelum ini) untuk model terpilih seperti Jimny AllGrip Plus, Jimny Rhino Plus, Fronx, dan Fronx Sport.
Bagi yang berminat, anda boleh mengunjungi mana-mana 14 rangkaian pusat jualan dan 13 pusat servis Suzuki di seluruh negara, atau layari laman web rasmi mereka di www.suzukimalaysia.com.
Pendaftaran awal amat digalakkan memandangkan unit juaalan adalah terhad.