Skuad kebangsaan Syria bakal menguji kekuatan Malaysia dalam satu aksi persahabatan antarabangsa seminggu sebelum temasya Piala Asia 2023 membuka tirai.

Perkara ini diumumkan oleh FA Syria menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana selain menentang Malaysia, pasukan itu juga mengadakan aksi pemanas badan menentang Kyrgyzstan sebagai persiapan terakhir.

Baca Juga:

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam perlawanan persahabatan pada September lalu dimana skuad Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan lawan dengan keputusan 2-2.

Dalam perlawanan tersebut, skuad bimbingan Kim Pan-gon ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama dan seterusnya mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua.

Akhyar Rashid dan Darren Lok menjadi wira pasukan negara apabila menjaringkan dua gol sekaligus memberikan keputusan seri kepada Malaysia.

Syria bakal menggantikan Arab Saudi yang memutuskan untuk membatalkan perlawanan persahabatan menentang Malaysia baru-baru ini.

Menurut beberapa laporan, Arab Saudi mengambil keputusan tersebut atas permintaan pengendali pasukan, Roberto Mancini yang menjangka pasukannya akan bertemu Malaysia di peringkat 16 pasukan terakhir di Piala Asia nanti.

Dalam temasya edisi kali ini, Syria diletakkan dalam kumpulan B bersama salah satu pasukan calon juara iaitu Australia, Uzbekistan dan India.

Skuad bimbingan Héctor Cúper itu akan membuka tirai dengan menentang Uzbekistan diikuti aksi menentang Australia. Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, pasukan itu akan turun menentang India.

Bagi Malaysia pula, pasukan negara diundi dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.