Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani melakar sejarah baharu dalam karier mereka selepas berjaya menggungguli Kejohanan Badminton Terbuka China 2024, sebentar tadi.

Lebih manis kejayaan hebat itu dilakarkan selepas menundukkan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi yang berlangsung di Changzhou Olympic Sport Centre.

Ia merupakan kejuaraan sulung buat Sze Fei dan Nur Izzudin dalam kejohanan berstatus Super 1000 dianjurkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).

Pada 25 Ogos lalu, pasangan negara itu menjuarai saingan Super 750 selepas menjuarai Terbuka Jepun hasil kemenangan ke atas juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

Menghadapi cabaran lawan yang mendapat sorakan padu penyokong tuan rumah, Sze Fei-Nur Izzudin sedikit berdepan masalah yang menyaksikan mereka tunduk 13-21 pada set pertama.

Kekalahan itu jelas tidak merentap semangat mereka untuk tampil lebih meyakinkan pada set kedua berbekalkan serangan padu dan pertahanan mantap bagi memenangi set kedua dengan mata 21-12 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum positif itu diteruskan gandingan ranking ke-12 dunia tersebut untuk memastikan gelaran Super 1000 sulung menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17.

Dengan kemenangan manis tersebut, Goh Sze Fei-Nur Izzudin membawa pulang wang tunai bernilai USD148,000 (RM622,361.68).

Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki Terbuka China ialah pada tahun 1989 dimana kejuaraan pada ketika menjadi milik gandingan adik beradik, Jalani dan Razif Sidek.