Hasrat untuk melihat pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani untuk muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada Liang Weng Kang-Wang Chang dari China menerusi permainan tiga set.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut Malaysia muncul naib juara kejohanan tersebut bagi acara beregu lelaki dimana sebelum ini menjadi milik Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2022) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada edisi tahun lalu.
Baca Juga:
- Badminton Asia 2024: Sze Fei-Nur Izzudin Pastikan ‘Perang Saudara’ Di Separuh Akhir
- Badminton Asia 2024: Sze Fei-Nur Izzudin Kejutkan Beregu Nombor 2 Dunia
- Badminton Asia 2024: Aaron-Wooi Yik Ke Separuh Akhir
Meskipun berdepan lawan yang mendapat sokongan ribuan peminat sendiri, Sze Fei-Nur Izzudin tidak mudah gentar dengan memberikan aksi terbaik terutamanya pada set pertama dan kedua.
Mereka mendahului 4-1 pada permulaan set pertama tetapi pasangan China yang kini berada di ranking ketiga dunia itu tenang menyerap tekanan untuk memimpin permainan.
Keadaan tersebut membolehkan mereka memenangi set pertama dengan jurang mata 21-17.
Set kedua pula menyaksikan Sze Fei dan Nur Izzudin tampil cukup garang selepas rehat interval untuk mengutip lima mata berturut-turut bagi mendahului 16-10.
Weng Kang-Wang Chang cuba untuk bangkit mengejar pada lewat aksi tetapi pasangan ketiga negara itu teta fokus untuk meraih kemenangan 21-15 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Kemenangan set kedua itu pada mulanya kelihatan meningkatkan moral Sze Fei-Nur Izzudin yang mendahului 5-1 tetapi Weng Kang-Wang Chang tampil dengan cukup garang untuk mendapatkan lapan mata berturut-turut.
Ia jelas mengganggu rentak pasangan negara yang kemudiannya kelihatan sudah hilang fokus hingga menyaksikan gandingan tuan rumah itu mengesahkan kemenangan dengan mata 21-10.