Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia hasil daripada prestasi cemerlangnya.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini menyampaikan anugerah berprestij ‘Diamond Award’ kepada TH di Majlis Anugerah Labaytum 2025 sebagai tanda mengiktiraf kecemerlangannya dalam pengurusan jemaah Haji bagi musim Haji 1446H/2025M.
Baca Juga:
- Tabung Haji Umum Dividen 3.25%, Tertinggi Dalam 7 Tahun
- Tabung Haji Umum Agihan Keuntungan 2023 Sebanyak 3.1 peratus
- ‘Bakal Jemaah Haji Perlu Muat Turun Aplikasi Saudi Visa Bio’- Lembaga Tabung Haji
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, berkata, “Kami amat berbangga kerana dapat meletakkan Malaysia sebagai penanda aras kecemerlangan pengurusan haji di persada dunia.”
“Tahniah diucapkan kepada pasukan pengurusan dan warga TH yang berdedikasi dalam menyempurnakan satu lagi operasi musim Haji. Anugerah ini terus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai antara negara yang terbaik dalam pengurusan hal-ehwal Haji.”
“TH sangat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini daripada Kerajaan Arab Saudi. Pengiktirafan tertinggi yang diperoleh di Anugerah Labaytum membuktikan komitmen TH terhadap inovasi dan amalan terbaik demi manfaat jemaah Haji Malaysia.”
“Kami tekad untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan pada tahun-tahun akan datang,” kata Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Anugerah Labaytum merupakan pengiktirafan tahunan yang disampaikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada delegasi pengurusan Haji dari seluruh dunia yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam operasi Haji.
Tabung Haji telah merangkul Anugerah ‘Diamond Award’ buat julung kalinya setelah berjaya mengendalikan keseluruhan operasi haji yang lancar untuk musim 1446H/2025M.

Tabung Haji Teruskan Perkhidmatan Cemerlang
Sebelum ini, TH telah memenangi anugerah Labaytum untuk dua tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, TH menerima dua anugerah dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik bagi Pejabat Hal Ehwal Haji dan Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik.
Pada tahun 2024 pula, TH menerima Anugerah Labaytum dalam Kategori Perkhidmatan Terbaik Pejabat Hal Ehwal Haji.
Anugerah ‘Diamond Award’ merupakan pengiktirafan tertinggi dan paling eksklusif dalam Anugerah Labaytum, yang mendahului kategori-kategori am.
Bagi tahun 2025, TH telah mencapai kemuncak pengiktirafan Labaytum dengan membawa pulang Anugerah ‘Diamond Award’.

TH diiktiraf sebagai penerima Anugerah ‘Diamond Award’ atas penilaian berdasarkan kualiti perkhidmatan yang unggul dari segi operasi, teknologi, kesihatan, logistik, bimbingan ibadah, dan tahap kepuasan jemaah Haji yang tinggi sehingga melebihi 95 peratus.
Menekankan daya penggerak di sebalik pencapaian Tabung Haji, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tuan Haji Mustakim Mohamad, menjelaskan, “TH meletakkan sepenuh komitmen bagi memastikan kebajikan, keselesaan dan keselamatan jemaah Haji Malaysia sentiasa diutamakan.
“Kami memegang amanah untuk menguruskan hal ehwal Haji jemaah Malaysia. Oleh itu, kami melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan kualiti pengurusan jemaah Haji Malaysia dipertingkatkan.”
“Kejayaan ini juga adalah hasil sinergi bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta semua agensi yang terlibat dalam urusan Haji demi keselesaan, kebajikan dan keselamatan jemaah Haji.”
Anugerah Labaytum telah disampaikan semasa Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Mekah.