Tabung solidariti yang dilancarkan bagi membantu pasukan Selangor FC kini telah mencecah RM66,252.02 bakal diserahkan kepada pasukan pada hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyerahkan kutipan tabung yang dilancarkan di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor sekaligus meringankan beban pasukan yang baru-baru ini dikenakan denda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Tabung solidariti itu sebelum ini dilancarkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bermula 26 Jun lalu dan kutipan menerusi tabung berkenaan akan ditamatkan pada jam 11.59 malam ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan menerusi laman Facebook miliknya dimana jumlah sumbangan diterima untuk setakat jam 11 pagi tadi adalah RM66,252.02.

“Untuk makluman, jumlah sumbangan yang telah diterima untuk Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula dari 26 Jun hingga setakat jam 11.00 pagi ini adalah sebanyak RM66,252.02. Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC,” dipetik dari kenyataan di Facebook beliau.

Baru-baru ini, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah menggunakan budi bicara mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan yang diambil pada 24 Jun 2024 ke atas Selangor.

Keputusan asal tersebut diambil selepas kelab berkenaan tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

Pertimbangan semula ini dibuat sebagai tanda penghormatan kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Berikut adalah keputusan-keputusan yang telah diumumkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL:

1) Denda yang dikenakan ke atas Selangor dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000.

2) Bayaran pampasan untuk kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah JDT dan MFL tetap dikekalkan.

MFL akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

3) Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dibatalkan. Walau bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan yang sama, kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan.

4) Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dibatalkan.