Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim mengeluarkan satu notis amaran mengenai kes positif racun Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) yang dikesan di perairan Teluk Likas di sini.

Memetik laporan Harian Metro, difahamkan tahap racun berkenaan didapati melebihi paras bahaya yang menyebabkan kerang-kerangan ada di perairan berkenaan menjadi beracun dan boleh memudaratkan kesihatan orang ramai jika dimakan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Sebagai langkah berjaga-jaga dinasihatkan agar orang awam tidak mengutip dan memakan kerang-kerangan dari kawasan terbabit (perairan Teluk Likas),” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan pencemaran PSP sebagai langkah berjaga-jaga.

PSP dihasilkan sejenis alga atau plankton yang membiak di perairan pantai barat Sabah termasuk di Teluk Likas di sini, biasanya ketika musim panas pada akhir dan awal tahun.

Pembiakan alga berkenaan dalam kadar yang banyak menyebabkan air laut kelihatan kemerahan dan atas sebab itu ia turut dikenali sebagai fenomena air pasang merah. Pada masa sama ianya beracun.

Selain Teluk Likas, antara lokasi lain yang sering dikesan kehadiran PSP di Sabah ialah di perairan Tuaran dan Tasik Sitompok, Kuala Penyu.

Kerang-kerangan adalah antara hidupan laut yang dikesan sering dicemari PSP apabila tiba fenomena air merah, manakala ikan masih selamat dimakan dengan membuang insangnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai situasi ‘kerang beracun Teluk Likas’ boleh diajukan kepada pegawai bertugas di Kompleks Perikanan Likas melalui talian 088-425890 dan 013-8668440 atau Penguasa Perikanan Daerah Kinabalu di talian 019-8620401.

Sumber