Apabila membaca tentang ‘bulan pernah hilang dari langit’, ada satu rasa pelik dan ingin tahu. Tidak pernah terfikir bahawa bulan boleh ‘hilang’ dari pandangan bumi padahal kita tahu bagaimana bulan bekerja. Adakah bulan merajuk dengan bumi? Atau terjadi satu kejadian disebalik hilangnya bulan dari pandangan bumi?
Hampir satu milenium yang lalu telah terjadi satu kejadian besar di atmosfer bumi ; awan besar dengan kandungan sulfur mula berkembang ke seluruh stratosfer. Ia menjadikan langit gelap selama berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun.
Kini, salah satu misteri Zaman Pertengahan itu telah diselesaikan hampir satu milenium oleh para saintis. Mereka merekodkan, pada bulan Mei tahun 1110 Masihi, bulan telah dilaporkan hilang dari langit. Bulan telah membiarkan orang-orang dalam kegelapan selama berbulan-bulan lamanya.
Terdapat satu catatan di dalam naskah Peterborough Chronicle yang menggambarkan situasi ketika bulan hilang dari langit, “Pada malam kelima pada bulan Mei muncul bulan yang bersinar terang di malam hari, dan sesudah itu sedikit demi sedikit cahaya itu berkurang, sehingga, begitu malam tiba, cahaya itu hilang sepenuhnya, cahaya atau bola, atau apa-apa sama sekali tidak kelihatan. ”
Kajian yang diketuai oleh ahli paleoklimatologi Sébastien Guillet, pasukan penyelidik menulis kertas kajian mengenai Peterborough Chronicle secara terperinci tentang bagaimana fenomena gerhana bulan berlaku di antara 500-1800 Masihi. Naskah ini juga telah membawa mereka kepada penemuan letusan gunung berapi.
“Ahli astronomi telah lama tertarik dengan gerhana bulan paling gelap yang terjadi pada tahun 1110. Kami mengetahui peristiwa ini lama sebelum mengkaji letusan gunung berapi pada tahun 1108-1110,” kata Sébastien.
Sébastien dan pasukannya yang berpusat di Universiti Geneva, Switzerland yakin bahawa mereka telah menemukan jawapan kepada persoalan kehilangan bulan. Kajian mereka yang diterbitkan di majalah Nature mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh gabungan beberapa faktor lain yang jarang berlaku – cuaca sejuk, abu gunung berapi dan belerang.
Kajian yang dilakukan ini menghala pada kesan iklim akibat daripada letusan gunung berapi antara tahun 1108 dan 1110 Masihi. Para penyelidik menemukan, apabila terjadi letusan gunung berapi pada pertengahan tahun 1108 di Gunung Esma di Jepun, kesan letusan itu telah membawa kepada kandungan sulfur yang tebal di bahagian atmosfer sehingga menjadikan bumi gelap.
Jadi, apa kena mengena dengan bulan hilang dari langit? Para saintis telah mengkaji dengan teliti kejadian “langit hitam” yang telah didokumentasikan pada waktu itu. Mereka mendapati wujud kemungkinan kejadian gerhana bulan yang lama sehingga menghilangkan bulan dari mata kasar manusia.
“Laporan tentang cahaya bulan yang rendah dapat dikaitkan dengan abu gunung berapi yang berada di bahagian stratosfera dan tahap penglihatan [menjadi kurang] akibat dari letusan gunung berapi yang besar,” tulis para penyelidik.
Pasukan Sébastien telah mencari petunjuk aktiviti gunung berapi di teras ais di kawasan Greenland dan Antartika. Lapisan ais ini menyimpan maklumat penting mengenai iklim zaman dahulu, termasuklah kesan letusan gunung berapi yang telah menyemburkan debu ke seluruh dunia.
Untuk mengukuhkan kajian mereka, para penyelidik meneliti urat atau bulatan pada pohon yang terdapat di kawasan sekitar. Corak bulatan pada pokok lahir disebabkan oleh tindak balas iklim. Cuaca di Eropah Barat pada tahun 1109 telah direkodkan “sangat sejuk dan selalu hujan”, suatu keadaan yang mungkin disebabkan oleh kesan global dari letusan gunung berapi.
Bagi menyokong pandangan mereka, Sébastien dan para penyelidik merujuk naskah Annals of Inisfallen, di mana orang Ireland berpuasa dan bersedekah agar “cuaca buruk pada musim panas dan musim luruh segera berakhir.” Manakala manuskrip Chronicle of Morigny menjelaskan krisis kelaparan di Perancis telah “membunuh banyak orang dan memiskinkan golongan kaya.” Sementara itu, Peterborough Chronicle membuktikan 1110 adalah “tahun bencana”.
Penemuan ini tidak semestinya dikira sebagai bukti kukuh, walaupun semua laporan dari masa itu dapat dilihat padan dan sesuai dengan pandangan para saintis dari masa kini serta semua potongan teka-teki itu berfungsi dengan baik. Namun, penelitian lebih lanjut diperlukan untuk memahami sumber lapisan debu, kerana mungkin berasal dari letusan gunung berapi yang lain.
“Hipotesis kami mengenai Gunung Esma yang menyimpan sulfur di Greenland perlu dibuktikan,” kata Sébastien. “Kami berharap suatu hari nanti dapat mengesahkan atau membantah hipotesis ini.”
Berikut adalah bahan bacaan yang lain untuk anda, klik pautan di bawah.
Bagaimana Perbalahan Antara Muslim Dan Hindu Boleh Tercetus Di India Ketika Ini?
Melayu Dan Tatu, Sisi Pandang 2 Individu Muslim Terhadap Seni ‘Haram’ Ini Di Malaysia