Taikun minyak Indonesia, Riza Chalid, yang merupakan suspek dalam kes rasuah berkaitan import bahan api, dipercayai berada di Malaysia, menurut pendedahan pihak berkuasa republik itu, petik Free Malaysia Today.

Direktorat Jeneral Imigresen di bawah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia memaklumkan bahawa mereka kini sedang bekerjasama dengan pihak imigresen Malaysia untuk mengesahkan lokasi sebenar Riza, lapor mingguan Indonesia, Tempo.

Baca Juga:

Pemangku Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Yuldi Yusman, berkata sejak Riza meninggalkan negara itu, beliau “belum kembali ke wilayah Indonesia”.

“Beliau dipercayai berada di Malaysia pada masa ini,” kata Yuldi Yusman seperti yang dipetik dalam laporan.

Riza Chalid berada di Malaysia sejak Februari lalu

Sebelum itu, Yuldi berkata bahawa rekod imigresen menunjukkan Riza telah berada di Malaysia sejak 6 Februari, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pada Sabtu lalu, The Jakarta Post melaporkan bahawa Riza telah dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkaitan import bahan api di anak syarikat Pertamina, syarikat minyak dan gas milik negara, yang mencatatkan kerugian bernilai trilion rupiah.

Menurut pihak penyiasat Indonesia, mereka menemui bukti yang mencukupi untuk menamakan ahli perniagaan itu sebagai suspek dalam siasatan yang setakat ini telah menyaksikan tujuh tangkapan, termasuk anak Riza sendiri, Kerry Adrianto.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Republik Singapura telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan tiada rekod Riza Chalid memasuki negara tersebut.

“Rekod imigresen kami menunjukkan bahawa Muhammad Riza Chalid tidak berada di Singapura dan telah lama tidak memasuki Singapura.”

“Sekiranya diminta secara rasmi, Singapura akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada Indonesia, tertakluk kepada undang-undang negara kami dan obligasi antarabangsa.”